Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Timbalan Menteri Kewangan M'sia jangka PRN akan berlangsung secara serentak di 6 negeri

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Ahmad Maslan menjangkakan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan serentak walaupun pembubaran di negeri-negeri terbabit berbeza-beza tarikhnya, lapor Malaysiakini.

Kata Encik Ahmad, beliau difahamkan ada Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu yang akan terbubar secara automatik pada Jun ini berdasarkan kepada tempoh lima tahun yang ditetapkan dalam perlembagaan.

Kali terakhir pilihan raya diadakan bagi melantik Adun di negeri terbabit adalah pada 2018.

"Saya difahamkan hari pembuangan undi akan diadakan pada tarikh yang sama di kesemua enam negeri walaupun (waktu) pembubarannya berbeza-beza.

"Selain tarikh pemilihan, hari penamaan calon juga dijangka ditetapkan pada waktu yang sama.

"Tapi pihak media perlu membuat pengesahan dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," kata mantan Setiausaha Agung UMNO itu kepada para pemberita di Parlimen pada Rabu (24 Mei).

Tidak semua negeri membubarkan DUN masing-masing apabila Encik Ismail Sabri Yaakob - ketika itu menjadi perdana menteri - mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen pada 10 Oktober 2022.

DUN yang tidak dibubarkan pada tahun lalu adalah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah. Semua negeri tersebut ditadbir sama ada oleh PAS-Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Beberapa menteri besar sudah memberi bayangan mereka akan menghadap sultan masing-masing untuk mencadangkan agar DUN dibubarkan pada bulan depan.

Sebelum itu, semua enam pemimpin negeri terbabit sudah mengadakan pertemuan pada Februari lalu untuk membincangkan kemungkinan membubarkan DUN masing-masing secara bersama-sama.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu pada umumnya mereka sepakat untuk melihat kemungkinan membubarkan DUN pada minggu terakhir Jun.

Semasa PRU15 diadakan pada 19 November tahun lalu, hanya Pahang, Perak dan Perlis membubarkan DUN masing-masing. Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor pula mengadakan PRN lebih awal.

Bergantung kepada bila negeri terbabit mengadakan sidang DUN pertama selepas PRU14, dalam keadaan semasa PRN mesti diadakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

Sebelum ini, pelbagai tarikh telah dicadangkan oleh setiap negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun mencadangkan 1 Jun untuk pembubaran DUN, manakala Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pula menyebut 18 Jun.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah mencadangkan pembubaran automatik pada 26 Jun.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan