Skip to main content

Dunia

Timbalan Menteri Imigrasi Indonesia ditahan badan cegah rasuah KPK selama 20 hari

Badan Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menahan Timbalan Menteri Imigrasi dan Kemasyarakatan (Wamen Imipas) Silmy Karim serta tujuh orang pegawai Direktorat Jeneral Imigrasi selepas mereka ditetapkan sebagai suspek dalam kes pemerasan dan penerimaan rasuah berkaitan pengurusan dokumen imigresen.

Anggaran Waktu Membaca:
Timbalan Menteri Imigrasi Indonesia ditahan badan cegah rasuah KPK selama 20 hari

Timbalan Menteri Imigrasi dan Kemasyarakatan Indonesia, Silmy Karim, ditahan selama 20 hari oleh Badan Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK). (Gambar: Instagram/kompascom)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 12:23PM Dikemas Kini : 04 Jun 2026 12:34PM
JAKARTA: Badan Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menahan Timbalan Menteri Imigrasi dan Kemasyarakatan (Wamen Imipas) Silmy Karim serta tujuh orang pegawai Direktorat Jeneral Imigrasi selepas mereka ditetapkan sebagai suspek dalam kes pemerasan dan penerimaan rasuah berkaitan pengurusan dokumen imigresen.

"Kelapan-lapan suspek itu ditahan hari ini untuk tempoh awal 20 hari," kata Jurucakap KPK Budi Prasetyo di Gedung Merah Putih, Jakarta, pada Khamis (4 Jun).

Encik Budi berkata Encik Silmy dan tujuh suspek lain disiasat mengikut Pasal 12 huruf e Undang-Undang Nombor 31 Tahun 1999 sebagaimana dipinda melalui UU 20/2001, bersama Pasal 20 huruf c KUHP.

"Peruntukan yang digunakan ialah Pasal 12e berkaitan dakwaan jenayah rasuah melibatkan pemerasan dalam pengurusan dokumen imigresen, selain Pasal 12B berkaitan penerimaan lain atau gratifikasi," kata beliau.

Tujuh suspek lain ialah Pelaksana Tugas (Plt) Dirjen Imigrasi bagi tempoh 2024 hingga 2025, Saffar Muhammad Godam; Kepala Pejabat Wilayah (Kakanwil) Ditjen Imigrasi Jawa Barat, yang sebelum ini memegang jawatan Direktor Izin Tinggal dan Status Keimigrasian Ditjen Imigrasi, Jaya Saputra; Kepala Subdirektorat (Kasubdit) Alih Status Izin Tinggal di Direktorat Izin Tinggal dan Status Keimigrasian Ditjen Imigrasi, Tessar Bayu Setyaji; Kasubdit di Direktorat Izin Tinggal, Bagus Bramantyo; Kepala Pejabat Imigrasi Jakarta Pusat bagi tempoh 2024 hingga 2025 dan Kepala Pejabat Imigrasi Kelas I Khusus Non TPI Jakarta Barat bagi tempoh 2025 hingga 2026, Ronald Arman Abdullah.

Mereka turut termasuk Ketua Tim Alih Status ITAS, Juniadi Sri Priambudi; dan kakitangan Subdit Izin Tinggal, Gusti Benardiansyah.

Sebelum ini, Encik Silmy dan tujuh pegawai Direktorat Jeneral Imigrasi mengenakan rompi tahanan KPK selepas disoal siasat dalam siri Operasi Tangkap Tangan (OTT) di persekitaran Pejabat Imigrasi Jakarta Barat, pada Khamis.

Menurut Kompas.com, Encik Silmy keluar dari bilik siasatan KPK dengan memakai rompi tahanan dan tangan yang bergari pada pukul 8.36 pagi waktu tempatan.

Beliau hanya menundukkan kepala ketika dihujani pelbagai soalan mengenai kes tersebut sebelum terus dibawa masuk ke dalam kenderaan tahanan.

Tujuh pegawai lain kemudian turut keluar dari bilik siasatan dan dibawa menaiki kenderaan tahanan.

Difahamkan, KPK menahan 17 individu dalam operasi khas yang dijalankan di persekitaran Pejabat Imigrasi Jakarta Barat sejak Selasa malam.

Penangkapan itu berkaitan kes dakwaan pemerasan dalam urusan permit Tenaga Kerja Asing (TKA).

Daripada 17 individu yang ditahan, tiga daripadanya ialah bekas Plt Dirjen Imigrasi Saffar Godam, Kakanwil Ditjen Imigrasi Jawa Barat Jaya Saputra, dan Kepala Pejabat Imigrasi Jakarta Barat Ronald Arman Abdullah.

Encik Budi berkata 17 individu yang ditahan terdiri daripada lapan penjawat awam dan pegawai negara, manakala sembilan lagi merupakan individu dari sektor swasta.

"Dua individu swasta ditahan di Bali, manakala seorang penyelenggara negara ditahan di Jawa Barat, iaitu Kakanwil Imigrasi Jawa Barat, Jaya Saputra.

"Pihak-pihak lain pula ditahan di Jakarta dan kawasan sekitarnya," kata beliau.

Selain itu, Encik Budi berkata pihaknya turut merampas beberapa barangan sebagai bahan bukti.

Antaranya tujuh buah kereta, 15 motosikal dan 11 basikal.

"Selain itu, pasukan kami turut merampas logam berharga dalam bentuk emas seberat ratusan gram," kata beliau.

Encik Budi menambah bahawa KPK akan mengadakan pembentangan kes bagi menentukan status undang-undang 17 individu yang ditahan.

"Jadi kita tunggu bersama-sama siapa yang akhirnya akan ditetapkan sebagai suspek dalam kes operasi tangkap tangan ini," kata beliau.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita