Timbalan Menteri Imigrasi dan Kemasyarakatan Indonesia serah diri kepada KPK dalam siasatan rasuah
Timbalan Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan Indonesia, Silmy Karim, menyerahkan diri di pejabat Badan Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK), selepas keberadaannya sebelum ini tidak diketahui, pada Rabu (3 Jun).
Mantan Timbalan Menteri Imigrasi dan Kemasyarakatan Indonesia, Silmy Karim, semasa menyerahkan diri kepada Badan Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK). (Gambar: YouTube/KOMPASTV PALEMBANG)
Menurut Kompas.com, Encik Silmy Karim tiba di Gedung Merah Putih di Jakarta pada pukul 10.38 malam waktu tempatan. Beliau dilihat digiring empat individu berpakaian seragam hijau.
Beberapa pegawai yang menggiring Encik Silmy turut terlibat dalam insiden tolak-menolak dan pertengkaran dengan para wartawan yang menunggu ketibaannya.
Encik Silmy tidak menjawab soalan yang diajukan media apabila ditanya berhubung keberadaannya sebelum menyerahkan diri.
Encik Silmy kemudian menghampiri kaunter penyambut tetamu untuk mendapatkan akses ke bilik siasatan.
Awal dari itu, Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan (Menteri Imipas) Agus Andrianto mengaku sempat bertemu dan berkomunikasi dengan Wakil Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan (Wamen Imipas) Silmy, di pejabat Kementerian Imipas di Jakarta ketika KPK sedang mengesan keberadaannya.
Encik Agus berkata beliau sempat menasihati Encik Silmy.
"Tadi sempat berkomunikasi dan saya menasihatinya supaya memberikan kerjasama," kata Encik Agus menerusi pesanan ringkas kepada Kompas.com pada Rabu.
"Di Jakarta, kerana saya bertemu dengannya di pejabat tengah hari tadi," tambah beliau.
Namun demikian, Encik Agus tidak memberikan sebarang maklum balas lanjut mengenai keberadaan Encik Silmy ketika itu.
Dalam perkembangan berasingan, Jurucakap KPK Budi Prasetyo berkata pihaknya menerima maklumat bahawa Encik Silmy berada di Indonesia, khususnya di Jakarta.
"Maklumat terakhir yang diperoleh pasukan kami menunjukkan SK berada di Jakarta dan kawasan sekitarnya," kata Encik Budi di Gedung Merah Putih, Jakarta, pada Rabu.
Beliau berkata pasukan KPK ketika itu masih menjalankan usaha untuk mengesan Timbalan Menteri Imigrasi dan Kemasyarakatan Indonesia itu.
Encik Budi turut meminta Encik Silmy supaya memberikan kerjasama dalam siasatan yang sedang dijalankan.
"Pasukan kami masih meneruskan usaha mengesan beliau. KPK meminta semua pihak supaya memberikan kerjasama," kata beliau.
Usaha mengesan Encik Silmy dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan susulan berhubung Operasi Tangkap Tangan (OTT) melibatkan Ketua Pejabat Imigrasi Jakarta Barat Ronald Arman Abdullah, yang dijalankan sejak Selasa malam.
Encik Budi turut menggesa semua pihak supaya memberikan kerjasama dalam pengendalian kes tersebut.
"KPK meminta agar semua pihak dapat memberikan kerjasama," kata beliau.
Menurut Ketua K-P-K Setyo Budiyanto, kes itu berkaitan dakwaan pengurusan permit melibatkan warga asing, serta Kartu Izin Tinggal Tetap dan Kartu Izin Tinggal Terbatas di Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.