Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

TikTok tidak pernah kongsi data AS dengan pemerintah China, tegas CEO

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: CEO TikTok Shou Zi Chew akan memberitahu penggubal undang-undang bahawa aplikasi video pendek milik warga China dengan lebih dari 150 juta pengguna rakyat Amerika Syarikat (AS) itu, tidak pernah dan tidak akan berkongsi data dengan pemerintah China.

Beliau membuat kenyataan itu di tengah-tengah kebimbangan keselamatan negara AS yang meningkat.

"TikTok tidak pernah berkongsi, atau menerima permintaan untuk berkongsi, data pengguna AS dengan pemerintah China. TikTok juga tidak menuruti permintaan seperti itu jika ia diminta," kata Encik Chew.

Beliau akan memberi keterangan pada Khamis (24 Mac), menurut bukti bertulis yang dikeluarkan pada Selasa (21 Mac) oleh Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan Dewan Rakyat.

Beliau menambah bahawa syarikat induk ByteDance itu tidak dimiliki atau dikawal oleh mana-mana pemerintah atau entiti pemerintah. "Biar saya beri penjelasan: ByteDance bukan ejen China atau mana-mana negara," kata Encik Chew kepada jawatankuasa tersebut.

Pengkritik TikTok bimbang bahawa data pengguna AS boleh diserahkan kepada pemerintah China melalui aplikasi itu dan mencetuskan permintaan oleh penggubal undang-undang AS supaya aplikasi tersebut diharamkan.
 
TikTok menyatakan ia sudah membelanjakan lebih AS$1.5 bilion (S$2 bilion) bagi apa yang dipanggil sebagai usaha keselamatan data yang ketat di bawah nama "Project Texas."

Menurut Encik Chew, apabila proses itu selesai, "semua data AS yang dilindungi akan berada di bawah perlindungan undang-undang AS dan berada di bawah kawalan pasukan keselamatan yang diketuai AS. Di bawah struktur ini, tiada cara untuk pemerintah China untuk mendapatkan akses atau memaksa untuk mendapatkan data tersebut."

Encik Chew menambah bahawa versi terkini aplikasi tersebut tidak mengumpul maklumat GPS terperinci atau anggaran daripada pengguna AS.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan