Skip to main content

Dunia

TikTok siap sedia tutup aplikasi di Amerika pada Ahad, kata sumber

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok siap sedia tutup aplikasi di Amerika pada Ahad, kata sumber

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 16 Jan 2025 10:43AM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 10:44AM
WASHINGTON: TikTok sedang dilaporkan merancang untuk menghentikan operasi aplikasi sosial medianya di Amerika Syarikat, yang digunakan 170 juta rakyat di negara itu, pada Ahad (19 Jan), apabila larangan persekutuan berkuat kuasa, kata individu yang rapat dengan isu tersebut pada Rabu (15 Jan).

Akhbar Washington Post melaporkan bahawa bakal Presiden Donald Trump yang akan memulakan penggalnya sehari selepas larangan itu bermula, sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan arahan eksekutif untuk menggantung penguatkuasaan penutupan itu selama 60 hingga 90 hari.
Undang-undang yang ditandatangani pada April melarang muat turun TikTok baharu di penyeidia aplikasi Apple atau Google jika syarikat induk dari China, ByteDance, gagal menjual platform tersebut.

Pengguna yang sudah memuat turun aplikasi itu masih dapat terus menggunakannya untuk sementara waktu.

Sebelum ini, Encik Trump berkata beliau perlu diberikan masa selepas dilantik sebagai presiden, untuk mencari "huraian politik" terhadap isu tersebut.

"TikTok adalah platform yang hebat," kata penasihat keselamatan negara Encik Trump, Mike Waltz, kepada Fox News pada Rabu.

"Kami akan mencari cara untuk mengekalkannya namun pada masa yang sama melindungi data individu".

Senator Amerika Syarikat Ed Markey pada Rabu cuba mendapatkan persetujuan sebulat suara bagi melanjutkan tarikh akhir untuk ByteDance menjual aset-asetnya di Amerika selama 270 hari, namun Senator Republican Tom Cotton menyekat usulan tersebut.

Jika platform itu diharamkan, TikTok merancang supaya pengguna yang cuba membuka aplikasi tersebut akan melihat mesej 'pop-up' dengan maklumat mengenai larangan itu.

Syarikat tersebut juga merancang untuk memberi pengguna pilihan memuat turun semua data mereka, supaya pengguna boleh mencatat maklumat peribadi mereka, kata sumber tersebut.

Mahkamah Agung Amerika sedang memutuskan sama ada untuk menguatkuasakan undang-undang dan meneruskan TikTok dilarang pada Ahad, membatalkan undang-undang tersebut, atau menggantung undang-undang itu untuk memberi lebih banyak masa kepada mahkamah membuat keputusan.

Keputusan untuk menghentikan operasi TikTok di Amerika boleh menyebabkan pengguna di banyak negara lain tidak dapat menggunakannya, dedah syarikat itu dalam pemfailan mahkamah bulan lalu.

Ini kerana beratus penyedia perkhidmatan di Amerika membantu platform tersebut dapat digunakan pengguna di seluruh dunia, dan tidak dapat melakukan demikian mulai Ahad.

TikTok menyatakan larangan itu akan membuat aplikasi tersebut tidak boleh digunakan, dengan menyatakan dalam pemfailan bahawa "pusat data pasti tidak boleh menyimpan" kod, kandungan atau data TikTok.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita