Skip to main content

Dunia

TikTok henti urus niaga e-dagang menerusi aplikasinya di Indonesia mulai 4 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok henti urus niaga e-dagang menerusi aplikasinya di Indonesia mulai 4 Okt

Gambar: Anadolu Agency

Diterbitkan : 04 Oct 2023 07:52AM
JAKARTA: Aplikasi video pendek TikTok menyatakan ia akan menghentikan urus niaga menerusi platformnya di Indoneisa menjelang Rabu (4 Okt), berikutan larangan baharu negara tersebut terhadap perdagangan e-dagang di media sosial.

TikTok, yang dimiliki syarikat China, ByteDance, menjelaskan dalam satu kenyataan pada Selasa (3 Okt) bahawa ia akan berunding dengan pemerintah Indonesia tentang rancangannya pada masa akan datang.

"Keutamaan kami adalah untuk mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan. Oleh itu, kami tidak akan mengendalikan urus niaga e-dagang di TikTok Shop Indonesia," dedah syarikat tersebut.

Pemerintah Indonesia menyatakan, larangan yang dikuatkuasakan pada minggu lalu, bertujuan untuk melindungi pasaran dan pedagang yang menjalankan perniagaan 'offline' atau di luar talian. Ia menambah bahawa harga yang ditetapkan di platform media sosial mengancam perusahaan kecil dan sederhana.

Ia tidak jelas berdasarkan kenyataan oleh TikTok sama ada ia akan membuat aplikasi e-dagang baharu, berbeza daripada aplikasi media sosialnya.

Keputusan TikTok adalah selaras dengan tempoh penangguhan yang diberikan pemerintah Indonesia, iaitu untuk mematuhi peraturan baharu dalam tempoh seminggu, bagi mengelak ancaman ditutup.

Di sebuah pasar borong di Jakarta, peniaga seperti Cik Nilam, yang menjual seluar tempatan, bimbang tidak dapat menjana pendapatan,

Dia berkata 80 peratus pendapatannya datang dari TikTok Shop dan tidak pasti bagaimana untuk menggantikan platform tersebut.

TikTok berjanji untuk melabur berbilion dolar di Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia, bagi beberapa tahun akan datang dalam usaha untuk mendorong penubuhan platform e-dagangnya TikTok Shop.

Syarikat itu mempunyai 125 juta pengguna aktif setiap bulan di Indonesia dan sedang cuba menggunakan pangkalan pengguna yang ramai itu untuk dijadikan sumber pendapatan.

Urus niaga e-dagang di Indonesia pada tahun lalu secara keseluruhan bernilai hampir AS$52 bilion (S$71 bilion), dan 5 peratus disumbang oleh TikTok.

Demikian menurut data dari pihak perunding Momentum Works.
 
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita