Skip to main content

Dunia

TikTok diminta sediakan mekanisme tangani pengguna bawah 13 tahun di Malaysia

Platform media sosial TikTok diminta menyediakan mekanisme berkesan selepas kaedah sedia ada gagal membendung kehadiran pengguna di bawah usia 13 tahun, kata Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil.
 

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok diminta sediakan mekanisme tangani pengguna bawah 13 tahun di Malaysia

Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil pada sidang media Perjumpaan Menteri Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama dengan pihak TikTok di Menara 1 Bukit aman pada 4 September 2025. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Platform media sosial TikTok diminta menyediakan mekanisme berkesan selepas kaedah sedia ada gagal membendung kehadiran pengguna di bawah usia 13 tahun, kata Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata justeru, platform media sosial berkenaan diarah membincangkan kaedah tersebut dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

"Kami (Kementerian Komunikasi) mendapati masalah yang berlaku dalam platform media sosial termasuk TikTok ialah kehadiran anak-anak di bawah usia 13 tahun yang tidak dibenarkan berdasarkan garis panduan komuniti.

“PDRM dan MCMC perlu meletakkan tempoh masa dan mekanisme yang perlu dilakukan oleh platform berkenaan untuk mengekang penggunaan media sosial itu bagi individu bawah 13 tahun," katanya selepas bertemu dengan pengurusan tertinggi TikTok bersama PDRM dan MCMC di Bukit Aman pada Khamis (4 Sep).

Encik Fahmi berkata antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah penggunaan e-KYC iaitu proses pengesahan identiti pelanggan secara digital dan mengehadkan akses terhadap ciri tertentu dalam media sosial seperti memberi komen serta berkongsi video jika pengguna tidak mengesahkan identiti mereka.

Beliau berkata hasil lawatannya ke sekolah, terutama sekolah rendah, mendapati ada kanak-kanak tahun satu yang memiliki akaun TikTok walaupun platform itu memaklumkan individu di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial berkenaan.

"Saya tidak melihat mereka melakukan larangan ini dengan agresif, mereka sangat lemah dalam menguatkuasakannya. Mekanisme sedia ada yang digunakan juga tidak boleh diguna pakai dan gagal," katanya.

Bagaimanapun, Encik Fahmi berkata kerajaan tidak bercadang untuk menyekat pengunaan media sosial itu di Malaysia dan akan melihat tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap platform berkenaan sekiranya masih gagal mematuhi peraturan.

Pada Selasa lalu, Encik Fahmi memaklumkan, pihak pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok dipanggil ke Bukit Aman berikutan kelewatan syarikat itu memberi kerjasama kepada PDRM dalam menangani isu penyebaran berita palsu di platform terbabit.

Beliau berkata isu berkenaan termasuk hantaran individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir. 
Sumber : Bernama/KH/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita