Skip to main content

Dunia

TikTok di Indonesia bakal ditutup jika tiada permit e-dagang

Anggaran Waktu Membaca:
TikTok di Indonesia bakal ditutup jika tiada permit e-dagang

(Gambar: Joel Saget/AFP)

Diterbitkan : 28 Sep 2023 07:55AM
JAKARTA: TikTok diberi tempoh sehingga tujuh hari untuk mendaftar permit perdagangan elektronik, sebelum ia ditutup pemerintah Indonesia, kata Menteri Perdagangan negara itu Zilkifli Hasan pada Rabu (28 Sep).

Ketika berucap di sidang media mengenai Peraturan Menteri Perdagangan Nombor 31 Tahun 2023, Encik Zulkifli berkata bahawa TikTok harus mendapatkan permit perdagangan elektronik jika ia ingin meneruskan urus niaga di platform itu.

Sebaik sahaja tempoh seminggu itu tamat, TikTok tidak dibenarkan untuk beroperasi tanpa permit perdagangan elektronik, tambahnya.

"Pada masa depan, TikTok hanya boleh digunakan untuk promosi dan pengiklanan, sementara urus niaga sebenar harus dilaksanakan pada laman e-dagang," tegas Encik Zulkifli.

Beliau menggesa semua pihak berkepentingan untuk mematuhi peraturan baharu itu.

Peraturan tersebut meminda Peraturan Menteri Perdagangan Nombor 50 Tahun 2020 mengenai lesen perniagaan, pengiklanan, pembangunan, dan penyeliaan pihak perniagaan terlibat dalam sistem perdagangan elektronik.

Menurut Encik Zulkifli, pindaan tersebut bertujuan untuk memupuk ekosistem perdagangan elektronik yang positif.

Kementerian itu juga akan mengenakan denda, termasuk pembatalan permit, bagi sebarang pelanggaran terhadap peraturan tersebut.

Peraturan Menteri Perdagangan Nombor 31 Tahun 2023 meliputi pelbagai aspek, termasuk pemisahan antara media sosial dan perdagangan sosial.

Selain itu, ia mewajibkan harga minimum AS$100 (S$137) bagi barangan siap import dijual secara langsung kepada Indonesia, melalui platform e-dagang rentas sempadan.

Peraturan tersebut juga termasuk senarai positif barangan diimport yang dibenarkan untuk masuk ke Indonesia secara langsung melalui platform e-dagang, kata Encik Zulkifli.

Ia juga menetapkan beberapa peraturan bagi pedagang asing dalam pasaran tempatan.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita