TikTok akan bayar AS$400 juta bagi selesaikan kes privasi online kanak-kanak di Amerika
Logo TikTok di ibu pejabat syarikat media sosial itu di Culver City, California, Amerika Syarikat, pada 17 Januari 2025. (Gambar fail: REUTERS/David Swanson)
- TikTok dan ByteDance bersetuju membayar AS$400 juta kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi menyelesaikan saman berkaitan pelanggaran privasi kanak-kanak.
- Syarikat tersebut dituduh mengumpul maklumat peribadi pengguna bawah 13 tahun tanpa kebenaran ibu bapa, melanggar undang-undang perlindungan data kanak-kanak.
- Penyelesaian melibatkan pembayaran segera AS$300 juta dan baki AS$100 juta selepas perintah mahkamah terdahulu dibatalkan, serta perubahan besar pada struktur dan amalan privasi TikTok.
- TikTok juga memperkenalkan sistem pengesanan usia, mewajibkan tarikh lahir pengguna, dan melatih kakitangan untuk mengurus akaun bawah umur demi perlindungan lebih kukuh kepada keluarga Amerika.
Jabatan Kehakiman Amerika menyaman TikTok dan ByteDance pada 2024 atas dakwaan gagal melindungi privasi kanak-kanak serta mengumpulkan maklumat mereka secara tidak sah.
Kedua-dua syarikat itu dituduh melanggar undang-undang yang mewajibkan khidmat online yang menyasarkan kanak-kanak mendapatkan kebenaran ibu bapa sebelum mengumpulkan maklumat peribadi pengguna berusia bawah 13 tahun.
Peguam Negara Bersekutu Stanley Woodward berkata keutamaan Jabatan Kehakiman Amerika adalah memastikan kanak-kanak dilindungi online dan syarikat yang diberikan kepercayaan mengendalikan maklumat peribadi mereka memenuhi kewajipan undang-undang.
TikTok belum memberikan sebarang komen.
Di bawah penyelesaian kes tersebut, TikTok akan membayar AS$300 juta (S$380.9 juta) dengan segera.
Baki AS$100 juta (S$127.0 juta) akan dibayar selepas satu perintah mahkamah terdahulu melibatkan pendahulu TikTok, Musical.ly, dibatalkan.
Perintah tersebut dicapai dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC) pada 2019.
Ketika itu, FTC menyatakan TikTok, yang dikenali sebagai Musical.ly, mengetahui kanak-kanak kecil menggunakan aplikasi tersebut tetapi gagal mendapatkan kebenaran ibu bapa untuk mengumpul nama, alamat e-mel dan maklumat peribadi lain.
Musical.ly ketika itu membayar denda AS$5.7 juta (S$7.2 juta).
Pada Januari, ByteDance bersetuju menubuhkan usaha sama yang majoritinya dimiliki pihak Amerika bagi melindungi data pengguna di Amerika dan mengelakkan TikTok daripada diharamkan.
TikTok digunakan lebih 200 juta rakyat Amerika.
Pemerintah Amerika menyatakan TikTok sudah melakukan perubahan besar terhadap struktur pemilikan, pengurusan, fungsi pematuhan dan amalan privasinya sejak aduan tersebut difailkan.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika, penyelesaian itu memastikan keluarga Amerika terus mendapat perlindungan lebih kukuh tanpa perlu melalui proses perundangan berpanjangan.
Usaha sama TikTok di Amerika menyatakan dalam satu pemfailan mahkamah bahawa semua pengguna perlu menyertakan tarikh lahir untuk menggunakan platform tersebut.
TikTok turut membangunkan sistem pengesanan usia bagi mengenal pasti kanak-kanak bawah 13 tahun yang memberikan maklumat palsu mengenai usia mereka.
Menurut pemfailan itu, TikTok mempunyai ratusan kakitangan yang dilatih untuk mengendalikan isu pengguna bawah umur dan memadamkan puluhan ribu akaun pengguna bawah umur.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.