Skip to main content

Dunia

Tiket Puteri Gunung Ledang The Musical habis terjual dalam 2 jam

Anggaran Waktu Membaca:
Tiket Puteri Gunung Ledang The Musical habis terjual dalam 2 jam

Tiket untuk pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical 2026, habis terjual dalam masa dua jam selepas jualan kepada umum dibuka. (Gambar: Facebook/Jeffrey Cheah Performing Arts Centre)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 12:39AM
  • Tiket Puteri Gunung Ledang The Musical habis terjual dalam dua jam, dengan lebih 22,000 orang dalam senarai menunggu secara online pada 25 Ogos.
  • Pementasan kali ini menampilkan barisan pelakon generasi baharu dan akan berlangsung di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square dari 31 Oktober hingga 15 November 2026.
  • Tiara Jacquelina dan pasukan Enfiniti terharu dengan sambutan luar biasa, melihatnya sebagai petanda positif untuk industri teater tempatan.
  • Walaupun ada cadangan membawa produksi ke lokasi lain, fokus utama kini ialah memastikan persembahan musim ini benar-benar luar biasa.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Tiket untuk pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical tahun ini, habis terjual dalam masa dua jam selepas jualan kepada umum dibuka, dengan lebih 22,000 orang masih berada dalam senarai menunggu secara online, setakat 10 malam Selasa (25 Ogos).

Sambutan luar biasa itu menandakan detik penting kepada produksi tempatan berkenaan yang dipentaskan buat kali pertama hampir dua dekad yang lalu, dan kali ini kembali dengan pementasan muzikal yang diberikan nafas baharu dan barisan pelakon generasi baharu.

Pengarah dan pencipta bersama produksi asal Tiara Jacquelina menyifatkan sambutan orang ramai itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan amat menyentuh hati pasukan produksi.

"Sejujurnya, saya sendiri tiada kata-kata untuk menggambarkan perkara yang berlaku malam ini (tadi). Dua puluh tahun selepas kali pertama kami membawakan Puteri Gunung Ledang ke pentas, mengetahui kisah ini begitu dekat di hati rakyat Malaysia dan kini, seluruh generasi baharu pula ingin mengetahuinya amat-amat menyentuh hati," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tiara berkata sambutan itu juga merupakan petanda yang menggalakkan bagi industri teater dan seni persembahan Malaysia dan mencerminkan minat berterusan orang ramai terhadap cerita tempatan, penggiat seni dan produksi tanah air.

Pementasan 2026 akan dipersembahkan di lokasi baharu, iaitu Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square dari 31 Oktober hingga 15 November.

Tiara, yang turut mengarahkan produksi terbaharu ini, berkata tiket yang habis terjual itu meletakkan harapan tinggi terhadap pasukan kreatif Enfiniti, yang kini giat menjalani latihan menjelang pembukaan musim pementasan muzikal tersebut.

"Tanggungjawab saya amat mudah – kami hanya perlu menyampaikan (persembahan terbaik), dan bukan sekadar memenuhi apa yang diingati atau dijangkakan penonton, kami perlu melangkaui lebih daripada itu," katanya.

Sambutan hangat daripada orang awam itu turut menarik perhatian negeri lain, mencetuskan perbincangan tentang kemungkinan membawa produksi itu ke lokasi lain selepas musim pementasan itu.

Bagaimanapun, Tiara berkata belum ada persembahan tambahan yang disahkan setakat ini kerana pasukan produksi kini memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menghasilkan persembahan yang luar biasa untuk musim ini.

"Tiada apa-apa yang disahkan, dan kini fokus kami ialah memberikan persembahan yang luar biasa. Akan tetapi, selepas melihat sambutan ini, sudah tentu kami perlu meneroka kemungkinan lain yang boleh dilakukan," katanya.
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita