Skip to main content

Dunia

Tiga ribut tropika landa Filipina, angka korban naik kepada 30 orang

Sekurang-kurangnya 30 rakyat Filipina disahkan terkorban akibat fenomena monsun barat daya yang dicetuskan tiga ribut tropika, mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh sejak minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga ribut tropika landa Filipina, angka korban naik kepada 30 orang

Para penduduk mengharungi jalan yang dibanjiri air selepas hujan lebat di Bandar Dagupan, wilayah Pangasinan, utara Manila pada 24 Julai 2025. (Gambar: AFP)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 26 Jul 2025 01:22PM
MANILA: Sekurang-kurangnya 30 rakyat Filipina disahkan terkorban akibat fenomena monsun barat daya yang dicetuskan tiga ribut tropika, mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh sejak minggu lalu.

Demikian menurut laporan Xinhua memetik agensi pemerintah Filipina pada Sabtu (26 Jul).

Dalam laporan terbaharu, Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) memaklumkan bahawa tujuh orang masih hilang, sama ada dihanyutkan oleh banjir kilat atau tertimbus ekoran kejadian tanah runtuh.

Agensi itu turut melaporkan bahawa bencana berkenaan menyebabkan 10 orang cedera.

NDRRMC juga melaporkan lebih 1.46 juta keluarga, bersamaan sekitar 5.3 juta penduduk terjejas di seluruh negara.

Pejabat Pertahanan Awam Filipina pula memaklumkan bahawa sebanyak 88 bandar dan majlis perbandaran mengisytiharkan darurat bencana bagi mempercepatkan usaha bantuan kecemasan dan memudahkan akses kepada sumber yang diperlukan.

Ribut tropika Wipha, Francisco dan Co-May sudah meninggalkan Filipina, namun jabatan meteorologi negara itu memberi amaran bahawa monsun barat daya dijangka terus membawa hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, khususnya di beberapa bahagian pulau Luzon.

Filipina secara purata dilanda kira-kira 20 taufan setiap tahun.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita