Skip to main content

Dunia

Tiga peguam saman Badan Peguam M'sia dan Presidennya kerana memfitnah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Tiga peguam termasuk Mohd Zaid Ibrahim menyaman Badan Peguam Malaysia dan presidennya berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan semasa mengendalikan rayuan akhir Najib Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Mohd Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) di Mahkamah Tinggi Malaysia di Kuala Lumpur pada 30 September lepas dengan menamakan Badan Peguam Malaysia dan Karen Cheah Yee Lynn sebagai defendan pertama dan kedua.

Peguam Lim Qi Si, yang mewakili ketiga-tiga plaintif berkata ketika pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nuur Fatimahtul Zuhra Khairuddin pada Selasa (1 Nov), mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 13 Disember ini.

Dalam pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos lepas, defendan kedua (Cheah) telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk "Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System" pada laman web rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.

Mereka mendakwa kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.

Ketiga-tiga peguam itu mendakwa defendan gagal atau enggan menghubungi mereka untuk mengesahkan fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar selain tidak memberi peluang kepada plaintif untuk menyatakan pendirian daripada pihak mereka dan versi cerita mereka.

Plaintif berkata sepucuk surat dikeluarkan pada 26 Ogos supaya kedua-dua defendan menarik balik penerbitan kenyataan akhbar itu dan membuat permohonan maaf kepada plaintif, namun ditolak oleh defendan menerusi peguam mereka, Tetuan Lee Hishammudin Allen & Gledhill pada 2 Sep lepas.

Plaintif mendakwa penerbitkan kenyataan akhbar itu menyebabkan reputasi mereka tercemar selain menegaskan bahawa tindakan defendan melanggar kewajipan berkanun telah memprejudis plaintif.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah dan kos selain memohon satu injunksi bagi menghalang defendan pertama dan kedua atau ejen mereka daripada menerbitkan perkataan-perkataan serupa yang bersifat fitnah terhadap plaintif-plaintif.


 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita