Tiga parah, seorang cedera ringan diserang babi tunggal
Tiga lelaki termasuk dua beranak parah, manakala seorang lagi cedera ringan akibat diserang seekor babi tunggal dalam kejadian di Kampung Baru, Simpang Pasir, Jeniang, di sini petang Selasa (28 Jan).
(Gambar: Bernama)
SUNGAI PETANI: Tiga lelaki termasuk dua beranak parah, manakala seorang lagi cedera ringan akibat diserang seekor babi tunggal dalam kejadian di Kampung Baru, Simpang Pasir, Jeniang, di sini petang Selasa (28 Jan).
Seorang daripada mangsa, Encik Shahrin Shariff, 47 tahun, berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika beliau sedang berehat di rumah selepas pulang berniaga air di Jeniang, dekat sini.
Beliau kemudian terdengar jeritan bapanya, Encik Shariff Yunus, 74 tahun, yang berada di luar rumah, tiba-tiba diserang haiwan berkenaan.
“Saya cuba membantu bapa yang rebah dan sedang bergelut dengan babi tunggal itu dengan mengambil kayu dan memukul babi itu, haiwan tersebut kemudian menerkam dan menggigit tangan kanan saya pula.
“Saya cuba melepaskan tangan dari mulut babi itu sebelum adik saya, Shamsul, 45 tahun, yang tinggal bersebelahan rumah datang membantu memukul dengan kayu sebelum dia pula diserang...tidak lama kemudian babi itu berhenti dan pergi berkubang di kawasan berlumpur di kawasan berdekatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini (29 Jan).
Sebelum itu, babi hutan yang dianggarkan seberat 200 kilogram itu, turut menyerang dan mencederakan seorang pekerja kedai makan, Encik Ibrahim Sulong, 31 tahun, di kedai makan yang terletak berhampiran rumahnya.
Ekoran serangan itu, Encik Shahrin berkata beliau mengalami kecederaan di pergelangan tangan, jari hantu kanan dan jari kelingking kiri serta paha kiri terkoyak, sementara bapanya mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kanan, tangan kiri dan paha kiri.
“Saya diberitahu pekerja kedai makan itu turut parah, manakala adik saya hanya mengalami cedera ringan di bahagian dada,” katanya.
Mereka bertiga kemudian dibawa Hospital Sik sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk menerima rawatan.
Kejadian serangan babi itu, katanya, pertama kali berlaku di kampung berkenaan walaupun sering melihat kelibat sekumpulan babi berkeliaran.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Encik Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi berkata, operasi memburu babi tunggal itu sudah dilakukan dan pihaknya berjaya menembak mati haiwan liar berkenaan kira-kira 50 meter dari rumah mangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.