Skip to main content

Dunia

Tiga kes strok haba dilapor di Sabah

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA KINABALU: Sabah mencatat tiga kes strok haba berikutan cuaca panas yang melanda ketika ini, membabitkan murid dan pelajar sekolah selain orang awam.

Demikian lapor BH Online.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, berkata kes terbabit dilaporkan antara 15 April lalu sehingga Jumaat (12 Mei) lalu.

Katanya, kes pertama adalah seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke wad pada 15 April lalu dan dibenarkan balik pada 18 April.

"Bagi kes kedua, pesakit adalah seorang murid lelaki berumur sembilan tahun yang dimasukkan ke wad pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei.

"Kes ketiga pula ialah seorang wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar pada 29 April lalu.

"Ketiga-tiga pesakit sudah selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, lapor BH Online.

Katanya, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu kerap berpeluh dan menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas, menurut beliau ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual selain boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

"Kanak-kanak dan warga tua adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan akibat cuaca panas," tambahnya.

Berikutan itu, menurut beliau JKNS menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit berkaitan cuaca panas.

Antara langkah itu, katanya ialah menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, marathon, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

"Memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah ataupun berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti," kata Dr Rose, menurut BH Online.

Selain itu, Dr Rose Nani berkata, orang ramai juga disaran meminum air yang dimasak dengan secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk memakai pakaian yang ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba selain mengelakkan memakai pakaian warna gelap, tebal dan ketat.

"Orang ramai juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan selain tidak duduk dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa," kata Dr Rose.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita