Tiga kes baru Orang Asli Batek sesak nafas
Tiga kes baru melibatkan gejala saluran pernafasan dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.
(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Tiga kes baru melibatkan gejala saluran pernafasan dilaporkan berlaku dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.
Menteri Kesihatan Malaysia Dzulkefly Ahmad berkata, dua daripada mangsa berkenaan, iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dan seorang wanita dewasa berusia 24 tahun, dikesan mengalami gejala itu pada Khamis lepas dan kini dirawat di Wad Isolasi Hospital Kuala Krai, Kelantan.
“Satu lagi kes dikesan semalam (21 Jun) melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, dirawat di Wad Isolasi Hospital Gua Musang.
“Ketiga-tiga pesakit berada dalam keadaan stabil. Ini menjadikan jumlah kes sejak 3 Jun hingga 21 Jun 2019 sebanyak 116 kes dengan gejala saluran pernafasan,” katanya kepada para wartawan selepas merasmikan majlis penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur hari ini (22 Jun).
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Chen Chaw Min dan Pengarah Pusat Darah Negara Noryati Abu Amin.
Dr Dzulkefly juga mengesahkan setakat ini kematian akibat penyakit demam campak dalam kalangan masyarakat berkenaan juga kekal tiga kes.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata kementeriannya setakat ini belum mendapat keputusan ujian makmal ke atas 12 mayat yang ditemukan di Kampung Kuala Koh bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Setakat ini menurut beliau, kementeriannya menjalankan pemeriksaan antropologi ke atas mayat tersebut bagi menentukan jantina, umur, bangsa, ketinggian dan jangka masa kematian.
Mengulas penularan penyakit itu dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kampung Gerdong di Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat di Jerantut, Dr Dzulkefly berkata hanya terdapat satu kes baru dilaporkan di Kampong Gerdong, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 13 kes, dengan lapan kes disahkan demam campak.
Menurut Dr Dzulkefly, sehingga kini tiada penularan jangkitan demam campak melibatkan perkampungan lain dilaporkan dan pemantauan diteruskan oleh semua Jabatan Kesihatan Negeri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.