Tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan di Kuala Lumpur
Gambar fail. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga kejadian tanah runtuh dilaporkan susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu kota petang Isnin (7 Mac).
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan menerusi kenyataan pada Selasa (8 Mac) dua kawasan melibatkan rizab jalan iaitu di 1/27, Taman Gembira dan Jalan Hang Tuah 4, Salak Selatan, manakala di Seksyen 6, Wangsa Maju merupakan tanah persendirian.
"DBKL telah meninjau ke kawasan terlibat dan kerja-kerja susulan akan dilakukan dengan segera," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu hujan lebat dengan kadar taburan hujan melebihi 100 milimeter per jam sekitar 3.00 petang Isnin (7 Mac) menyebabkan banjir kilat di 29 kawasan di ibu negara Malaysia itu. Antaranya Jalan Yaakob Latif, Jalan Ampang, Underpass Jalan Pudu, Jalan Maharajalela, Jalan Cheras dan Jalan Melaka.
Daripada 29 kawasan itu, DBKL memaklumkan 25 kawasan surut dalam masa 30 hingga 45 minit, manakala empat lagi iaitu Underpass Bulatan Pudu, Terowong Jalan Tun Razak, Kampung Pasir dan Kampung Periuk, surut dalam tempoh satu hingga tiga jam.
"Bantuan awal bagi melancarkan trafik dan kerja pembersihan telah dilaksanakan termasuk menggerakkan trak tunda bagi mengalihkan kenderaan terkandas," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, DBKL mengenal pasti 12 lokasi pokok tumbang dan dahan sekah menerusi siasatan di tapak serta aduan awam antaranya di Jalan Pudu Lama, Jalan Teluk Pulai, Jalan Kuchai 2 dan Jalan Desa Utama.
Sementara itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswati melibatkan mangsa banjir di Kampung Pasir seramai 560 orang (145 keluarga) dan Dewan Sultan Sulaiman membabitkan 381 orang (84 keluarga) dari Kampung Periuk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.