Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiga jejaka Indonesia ini nekad mahu ke Makkah dengan berbasikal

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga jejaka Indonesia ini nekad mahu ke Makkah dengan berbasikal

(Dari kiri) Chairul Ma'atini, Andi Harvin dan Muhammad Fauzan menyahut cabaran berbasikal untuk menjejakkan kaki di Mekah. 
Gambar: Facebook/ Chairul Ma'atini, Andi Harvin, Muhammad Fauzan
 

Diterbitkan : 08 May 2022 07:29PM Dikemas Kini : 08 May 2022 07:29PM

KUALA LUMPUR: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Di mana ada kesungguhan, di situ mereka berharap dipermudahkan urusan.

Tiga jejaka dari Indonesia nekad mahu menjejakkan kaki ke Makkah dengan mengayuh basikal dan kini niat perjalanan mereka sedang diteruskan menyusuri laluan di Malaysia.

Tiga sahabat itu tiba di Kuala Lumpur pada Jumaat (6 Mei) dan sempat bertemu dengan Duta Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur, Hermono, lapor Astro AWANI menukil rencana daripada Agensi berita Antara.

Tiga jejaka itu, Andi Harvin, Chairul Ma’atini dan Muhammad Fauzan yang berusia antara 27 dengan 28 tahun, menerusi maklumat di media sosial, sudah sampai di Johor Bahru pada 27 April lalu dari Singapura.

Pengayuh basikal jarak jauh itu sebelumnya menghabiskan masa satu bulan di Singapura melalui pelabuhan di Batam, lapor Astro AWANI menukil rencana daripada Kompas.com.

Ketiga-tiga mereka ternyata tidak lepas dari berdepan kekangan dalam tempoh pandemik. Dari menunggu lama di Batam kerana menunggu sempadan memasuki Singapura dibenarkan, seterusnya mereka terpaksa menunggu lagi hingga laluan masuk ke Malaysia dibuka untuk kedatangan dari Singapura.

Andi dan Chairul berlepas dari Gorontalo sejak Jun 2021, sementara Muhammad Fauzan bergerak dari Magelang sejak November 2021, lapor Astro AWANI.

Andi dan Chairul setakat ini sudah menempuh laluan berbasikal sejauh 4,000 kilometer (km) dari Gorontalo, sementara Fauzan menempuh jarak 2,000km dari Magelang.

Menurut Andi, beliau nekad untuk ke Makkah dengan menaiki basikal berbekalkan pengalamannya sebagai anggota Mapala Benua (unit kegiatan mahasiswa) di Universitas Negeri Gorontalo.

Beliau lantas memberanikan diri untuk menempuh perjalanan jauh ke Makkah dengan berbasikal dan kelengkapan seadanya.

Sepanjang perjalanan, mereka memperoleh pendapatan sampingan dengan menjual baju-T yang tertera tulisan “Muslim Youth Journey”. Mengenai penginapan pula, mereka memiliki jaringan kenalan yang membolehkan mereka beristirahat dan bermalam di kediaman warga tempatan.

Mereka juga berkesempatan menyambut hari raya dan menunaikan solat Aidilfitri di salah sebuah kampung di kawasan ladang kelapa sawit di Malaysia.

Sepanjang perjalanan, mereka kerap berkomunikasi dengan komuniti basikal antarabangsa di negara yang mereka jelajahi, lapor Astro AWANI.

Itu memudahkan urusan mereka mendapatkan maklumat tentang laluan berbasikal merentas negara, termasuk hentian-hentian yang khusus hingga ke Songkhla, Thailand.

Andi, mengaku menghadapi banyak cabaran sepanjang perjalanan mereka, antaranya seperti rak bekal bahagian depan basikalnya patah akibat terlebih beban, hinggalah ke tayar yang bocor di Malaysia kerana terlanggar pecahan kaca dan kawat.

Ketiga-tiga mereka berharap dapat tiba di Makkah dengan selamat dan menunaikan hajat untuk menyempurnakan ibadah haji pada Julai 2022, seterusnya kembali ke Indonesia dalam keadaan selamat dan sihat.

Semoga perjalanan mereka dipermudahkan dan selamat tiba di destinasi!

Sumber : Agensi berita/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa