Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiga beradik genggam PhD bersama, ibu bapa sebagai inspirasi

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Walaupun masing-masing sudah berkeluarga, ia tidak mematahkan semangat tiga beradik untuk terus semangat melanjutkan pelajaran dalam peringkat doktor falsafah (PhD) dengan memahat kenangan indah pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Ke-66, pada Khamis (24 Nov).

Faridah Mohd Marsin, 39 tahun, bersama dua adiknya, Jamilia, 36, dan Aishah, 32, berkongsi kegembiraan itu apabila hasrat menamatkan pengajian dan menghadiri majlis tamat pengajian bersama-sama tercapai, lapor Harian Metro.

Faridah yang juga anak sulung enam beradik berkata, ia majlis tamat pengajian paling manis buat dia dan keluarga.

“Kami tidak pernah rasa segembira ini. Kami dapat sokongan ibu bapa dan merekalah inspirasi kami.

“Memang kami dah rancang harap-harap dapat konvo bersama. Memang kami sokong untuk sama-sama selesaikan tugasan Viva dan Alhamdulillah, akhirnya kami dapat tamatkan pengajian dan hari ini bergraduasi bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen di UTM Skudai, pada Khamis (24 Nov).

Sementara itu, Jamilia pula berkata, sejak kecil mereka adik-beradik sentiasa menyokong antara satu sama lain bukan sahaja dalam soal pembelajaran, tetapi juga hal keluarga dan anak-anak, menurut harian Metro.

“Kita memang ada berbalah dan berbeza pendapat kerana biasalah adik-beradik, bagaimanapun kami tetap akan menyokong antara satu sama lain.

“Tetapi, pendorong utama kami dalam menyambung pengajian sudah pasti ibu bapa kami yang penting ada minat dan kesungguhan untuk belajar,” kata anak kedua itu.

Ibu bapa tiga beradik itu, Dr Mohd Marsin Sanagi dan Dr Noriah Bidin, masing-masing pernah bertugas sebagai pensyarah Pensyarah Sains Kimia dan Pensyarah Sains Fizik di UTM Skudai, namun kedua-duanya sudah bersara.

Faridah mencapai PhD Kimia Analisis, Jamilia pula PhD Seni Bina, manakala Aishah berjaya dengan PhD Kejuruteraan Bioproses, seperti dinukil Harian Metro.

Bagi anak kelima, Aishah, cabaran mereka tiga beradik sepanjang pengajian adalah ketika perlu menyeimbangkan masa antara belajar, keluarga dan kerjaya.

“Kami semua sudah berkeluarga dengan masing-masing mempunyai anak seramai tiga, empat dan lima orang. Tetapi, itulah cabaran kami apabila perlu menyeimbangkan kesemuanya antara belajar, keluarga dan bekerja.

“Kami perlu kuat semangat sebab kadang-kadang memang ada sampai tahap penat kerana banyak pengorbanan yang perlu dibuat, sebab itu perlunya sokongan keluarga,” katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan