Tidak wajar harapkan keajaiban dalam 100 hari, kata Jaclyn Victor
Harapan ramai rakyat Malaysia menggunung terhadap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas gabungan itu diberi peluang menjadi kerajaan sejak 9 Mei lalu.

Penyanyi Jaclyn Victor. (Gambar: Jaclyn Victor/Facebook)
KUALA LUMPUR: Harapan ramai rakyat Malaysia menggunung terhadap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas gabungan itu diberi peluang menjadi kerajaan sejak 9 Mei lalu.
Namun penyanyi lagu Gemilang, Jaclyn Victor, berkata bahawa semua pihak perlu bersikap realistik dan tidak mengharapkan pelbagai keajaiban dapat berlaku dalam tempoh 100 hari pertama negara ditadbir HARAPAN.
Menurut Jaclyn, rakyat Malaysia juga perlu bersikap matang selain bersabar dengan kerajaan yang pernah berjanji untuk memperbaiki “kerosakan” dalam negara.
“Bebanan hutang yang ada sangat tinggi, kalau asas tidak kuat, ia akan goyah, justeru kena utamakan perkara yang lebih penting dahulu,” kata beliau ketika diwawancara di ibu pejabat agensi berita Malaysiakini di Petaling Jaya baru-baru ini.
Menurut penyanyi itu, pelbagai faktor lain perlu diambil kira dan simpati perlu diberikan kepada faktor usia Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
HARAPAN kini diperhatikan, terutama oleh pembangkang, dengan menjadikan 10 janji 100 hari yang diikrarkan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu sebagai salah satu 'peluru' kritikan mereka.
IKHLAS DARI HATI
Tempoh 100 hari itu akan tiba pada minggu ini.
Malaysiakini melaporkan bahawa antara janji yang diikrarkan itu adalah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak, membatalkan larangan ke luar negara untuk peminjam tabung Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan memberikan caruman kepada suri rumah.
Diminta mengulas perkara yang paling menyeronokkan bagi Cik Jaclyn, beliau berkata ia adalah penubuhan Tabung Harapan Malaysia.
Menurut beliau, tabung itu dianggap bertujuan sangat baik dan penyumbang pula memberikan derma masing-masing secara ikhlas dari hati demi negara ini.
Cik Jaclyn adalah antara penyanyi popular yang terlibat dalam Konsert Countdown/Konsert Perpaduan Pesta Harapan Malaysia 2018, yang akan berlangsung pada 15 September ini.
Acara julung kali yang dianjurkan oleh Malaysiakini itu dijayakan dengan kerjasama beberapa rakan strategik seperti Unifi, AirAsia, Boost, Malindo Air dan Country Heights Holding Berhad. Ia akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.
Selain Cik Jaclyn, selebriti lain yang akan memeriahkan pesta tersebut termasuk Bunkface, Estranged, Soo Wincci, Couple, Kavin Jay, Sly Squad, dan jemputan istimewa, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Cik Jaclyn menerangkan bahawa pelibatannya dalam Pesta Harapan Malaysia 2018 adalah untuk membarakan semangat patriotik di kalangan generasi muda.
Malaysiakini menukil beliau sebagai berkata, beliau berharap golongan muda dapat menghargai kenikmatan sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana aman damai.
“Inilah peluang untuk tunjukkan kepada muda-mudi yang ada minda dan pendapat mereka sendiri supaya berbangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.