Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak timbul masalah pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Johor, kata Menteri Besar

Tidak timbul sebarang masalah setakat ini berhubung pemberian bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir di Johor, kata Menteri Besar Johor Hasni Mohammad. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak timbul masalah pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Johor, kata Menteri Besar

Banjir di Johor. (Gambar Hiasan: Bernama)

JOHOR BAHRU: Tidak timbul sebarang masalah setakat ini berhubung pemberian bantuan kepada mangsa yang terjejas banjir di Johor, kata Menteri Besar Johor Hasni Mohammad. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sekiranya terdapat kelewatan pemberian bantuan berlaku, ia hanya melibatkan kes-kes terpencil.

“Saya sudah menekankan bahawa soal banjir bukanlah kali pertama di Johor. Kalau ada pun kelewatan (beri bantuan), itu kes-kes yang terpencil...saya anggap tidak ada apa yang boleh menghalang atau kesukaran untuk bekalan bantuan sampai kepada mangsa banjir. 

“Saya tidak nafikan juga mungkin ada sedikit masalah komunikasi (seperti) ada katanya jumlah berpindah hanya 10 keluarga tetapi yang datang 15 keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS) jadi mungkin khemah lambat sampai, perkara-perkara seperti itu. 

"Jadi saya tidak merasakan bahawa ada sebarang masalah yang timbul sepertimana yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak,” kata beliau kepada wartawan semasa sidang media selepas merasmikan Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di Johor Bahru hari ini (10 Jan).

Encik Hasni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa prosedur operasi standard (SOP) disifatkan menyusahkan rakyat sehingga bantuan lambat sampai kepada mangsa banjir di PPS.

Dakwaan tersebut diutarakan mantan Menteri Belia dan Sukan itu menerusi catatan di Facebook rasminya selepas sebuah keluarga di Muar mendakwa bantuan tidak sampai kepada mereka.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai anggaran kerugian banjir di Johor, Encik Hasni yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut, menjelaskan jumlah tersebut hanya boleh ditaksirkan selepas banjir di negeri itu pulih sepenuhnya dan kesemua PPS ditutup.

Beliau menambah jumlah kerugian akan ditaksirkan dalam bentuk harta benda termasuk kerosakan kebun, ladang dan sebagainya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan