Skip to main content

Dunia

"Tidak sengaja": Enjin rosak, arus kuat antara sebab nelayan Johor termasuk perairan SG

Anggaran Waktu Membaca:
 "Tidak sengaja": Enjin rosak, arus kuat antara sebab nelayan Johor termasuk perairan SG

Nelayan Johor Nasir Harun menjala ikan berdekatan jambatan di LinKedua Tuas. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

GELANG PATAH, Johor: Di kala suara azan sayup-sayup kedengaran dan bau hanyir ikan menyerbak kawasan di sebuah perkampungan nelayan di Johor, Encik Nasir Harun naik ke dalam bot milik beliau yang ditambat di jeti berdekatan lalu berlayar ke laut.

Sedang lelaki berusia 36 tahun itu menebarkan jala ke dalam laut bersebelahan jambatan Linkedua Tuas, pandangan matanya tertumpu ke arah bot pengawal pantai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang sedang melalui kawasan itu.

Beliau juga seringkali terpaksa menumpukan perhatian kepada boya-boya air yang terikat pada tali panjang menjalar, yang menandakan sempadan antara Malaysia dengan Singapura.

"Kami seboleh-bolehnya tidak akan melepasi boya-boya itu dan masuk ke Singapura. Kadangkala disebabkan berlaku kegagalan motor atau arus kuat, kami mungkin bergerak ke kawasan itu secara tidak sengaja tetapi kami tidak berniat melakukannya," kata beliau kepada Mediacorp.
Related article image
Sempadan antarabangsa antara Singapura dengan Malaysia ditandakan dengan boya kuning. (Gambar: CNA/Amir Yusof)
Seperti bapanya, Encik Nasir menyara hidup dengan menangkap ketam, udang dan ikan.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nelayan seperti dirinya yang datang dari Kampung Pendas di hujung bahagian selatan Johor berkata rondaan yang dipertingkat oleh agensi-agensi penguatkuasaan di kawasan sempadan dengan Singapura "mengganggu" kerja mereka.

"Kami benar-benar tidak mahu mencetuskan sebarang masalah dengan pihak berkuasa Singapura atau sesiapa pun, kami hanya mahu mencari makan dengan tenang," kata Encik Nasir.

Beliau menambah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ruang untuk memancing di Selat Johor semakin terhad disebabkan kerja-kerja tambak tanah di perairan selatan negeri itu bagi projek-projek kediaman dan perindustrian.

Ini memaksa para nelayan meneroka jauh ke tengah laut, menghampiri sempadan antarabangsa dengan Singapura, yang ditandakan dengan boya-boya berwarna.

Apabila berdepan dengan hasil tangkapan yang berkurangan disebabkan kerja-kerja tambak tanah, para nelayan itu berkata mereka juga terpaksa melalui ruang-ruang yang lebih kecil dan memastikan mereka tidak secara sengaja melepasi sempadan dan masuk ke dalam perairan Singapura.

Lebih-lebih lagi, kegiatan tambak tanah yang semakin meningkat disebabkan pembangunan perindustrian di selatan Johor menimbulkan kebimbangan bahawa perdagangan ikan di Selat Johor mungkin tidak mampu untuk terus kekal satu hari nanti, menurut pakar marin.

PENGALAMAN 'MENGGANGGU' BERDEPAN BOT RONDA

Para nelayan Kampung Pendas sekali lagi menarik perhatian menyusuli satu insiden bulan lalu, di mana salah seorang daripada mereka - Faizan Wahid - mendakwa bot Pengawal Pantai Polis Singapura menyebabkan jala ikan beliau rosak semasa di laut.

Ini menyebabkan seorang ahli politik tempatan menyeru agar sempadan antarabangsa itu diubah demi keselamatan nelayan, sambil menuduh bot polis Singapura "sengaja" melanggar jala tersebut dan memasuki Kawasan Perairan Wilayah Malaysia (MTW).

Pasukan Polis Singapura (SPF) bagaimanapun menyangkal dakwaan bahawa bot pegawal pantai mereka berada dalam MTW dan menekankan bahawa pihaknya sedang menguatkuasakan undang-undang Singapura.

Ia menambah, selepas insiden berdepan nelayan berkenaan, jala ikan tersangkut dengan bahagian kipas kapal yang sedang berundur untuk mengelak daripada termasuk ke dalam perairan Malaysia.

Insiden serupa pernah berlaku pada Oktober 2022, apabila SPF menyatakan para pegawai pengawal pantai melihat sekumpulan bot nelayan Malaysia masuk dan keluar daripada kawasan larangan di perairan Singapura di Lim Chu Kang.

Menurut SPF, nelayan yang sama turut terlibat dalam insiden pada Oktober 2022, sambil menambah beliau sudah diminta keluar dari kawasan di STW demi keselamatan dirinya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF), Angkatan Bersenjata Singapura menjalankan latihan tembakan di kawasan menghadap Selat Johor.

MINDEF biasanya mengeluarkan kenyataan nasihat kepada kapal-kapal yang berlayar melalui "Barat Selat Johor" supaya memastikan mereka sentiasa berada dalam lingkungan jarak 75 meter di perairan dan jangan masuk ke dalam kawasan tembakan kerana peluru hidup dan api digunakan.

Encik Faizan - nelayan yang terlibat dalam kedua-dua insiden - memberitahu Mediacorp pada bulan lalu bahawa beliau tidak masuk ke dalam STW semasa kedua-dua insiden yang dinyatakan SPF.
Related article image
Faizan Wahid dakwa jaring beliau dirosakkan oleh Pengawal Pantai SPF dalam satu insiden pada Ogos. (Gambar: CNA/Amir Yusof)
"Saya sudah bekerja di perairan ini lebih 10 tahun dan saya faham sensitiviti sempadan di perairan," kata lelaki berusia 42 tahun itu.

"Isu itu masih belum selesai - saya terpaksa gantikan jala saya yang rosak...Saya harap pihak berkuasa kedua-dua negara boleh capai satu huraian tetap supaya para nelayan boleh menangkap ikan (di Selat Johor) dengan ruang yang cukup," kata beliau.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita