Tidak semestinya Zahid jadi ketua pembangkang, kata Khairy
Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa Encik Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak semestinya menjadi ketua pembangkang di sidang pertama Parlimen yang dijadualkan pada 16 Julai ini.
Gambar fail Encik Khairy Jamaluddin. (Gambar: TODAY/The Malaysian Insider)
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa Encik Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak semestinya menjadi ketua pembangkang di sidang pertama Parlimen yang dijadualkan pada 16 Julai ini.
“Langkah pertama adalah untuk memisahkan tugas antara parti BN dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen. Pengerusi BN tidak semestinya menjadi ketua pembangkang di Parlimen.
“Malah, pengerusi BN perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula BN. Tugas-tugas perundangan di parlimen boleh dipikul oleh pasukan lain yang dipandu oleh pendirian dan dasar yang ditentukan oleh parti BN itu sendiri.
“Setelah ketua pembangkang dipilih dalam kalangan anggota Parlimen BN, satu kabinet bayangan perlu dibentuk,” katanya dalam satu catatan Facebook semalam, menurut Malaysiakini.
Selepas Encik Najib Razak meletakkan jawatannya sebagai presiden UMNO dan pengerusi BN menyusuli kekalahan teruk di pilihan raya umum 9 Mei lalu, Encik Ahmad Zahid dilantik menjalankan tugas-tugas berkenaan.
Mengulas lanjut, mantan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, walaupun tiada peruntukan rasmi untuk mewujudkan kabinet bayangan, satu pasukan boleh diumum secara tidak rasmi. Ia bagi menyemak dan mengimbangi tugas menteri kerajaan.
Malaysiakini melaporkan bahawa Encik Khairy menambah, sebagai pembangkang, BN juga akan mengusahakan supaya peranan parlimen diperkukuhkan lagi.
“Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya ketika di bawah pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baru ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN,” kata beliau.
Namun begitu, Encik Khairy juga berkata beliau sedar BN tidak akan diterima serta-merta sebagai pembangkang yang berwibawa, namun tetap akan memainkan peranan untuk menyemak dan mengimbangi Kerajaan Pakatan Harapan.
“BN juga wajar menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan tidak hanya ‘membangkang semata-mata kerana kita pembangkang’.
“Perlu diingat, BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara. Sebarang rang undang-undang perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” ujar beliau.
Menurut Encik Khairy, ini termasuk cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) di sesi parlimen kali ini, lapor Malaysiakini.
“Saya berpandangan, apabila ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara, anggota Dewan Negara BN wajib memberi kerjasama menurut agenda yang dibawa oleh kerajaan.
“Sebagai contoh, walaupun mungkin terdapat perbezaan pendapat tentang SST, anggota Dewan Negara BN perlu meluluskan rang undang-undang ini kerana tanpa SST, kutipan hasil kerajaan akan terjejas dan ini akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
“Atas prinsip kepentingan negara dan ‘maslahah al-ammah’, BN mesti menyokong,” kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.