Tidak sangka beraya lebih awal, rakyat M'sia serbu bazar, pasar raya; berpusu tunai zakat fitrah
Tidak menyangka tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Isnin (2 Mei), orang ramai pada malam semalam berpusu-pusu membuat persiapan akhir bagi menyambut Syawal apatah lagi selepas dua tahun tidak meraikannya secara meriah.
Orang ramai membanjiri pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2022. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Tidak menyangka tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Isnin (2 Mei), orang ramai pada malam semalam berpusu-pusu membuat persiapan akhir bagi menyambut Syawal apatah lagi selepas dua tahun tidak meraikannya secara meriah.
Di ibu kota Kuala Lumpur, trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka dan Chow Kit, yang menjadi tumpuan untuk membeli kelengkapan Aidilfitri, mengalami kesesakan apabila orang ramai menyerbu kedai jualan di kawasan itu.
Seorang pekerja swasta Ghazali Ahmad Zukri, 47 tahun, terkejut apabila Hari Raya jatuh pada Isnin apabila beliau dan keluarganya masih belum berkesempatan membeli barangan bagi persiapan raya.
Beliau berkata perancangan untuk bergerak pulang ke kampung halaman di Bukit Piatu, Melaka, selepas berbuka puasa terpaksa ditangguhkan bagi membeli pakaian raya.
“Apabila diumumkan sahaja, saya terus minta keluarga bersiap untuk beli barang raya dan bertolak pulang ke kampung selepas Subuh esok,” katanya ketika ditemui Bernama semalam.
Di Negeri Sembilan, suri rumah Siti Zaleha Timbang, 56 tahun, berkata sejurus mendengar pengumuman Hari Raya, beliau terus meminta anaknya ke pasar raya untuk membeli bahan masakan rendang bagi hidangan Lebaran buat keesokan harinya.
“Terkejut juga dengan pengumuman Hari Raya tadi. Saya jangkakan Aidilfitri pada Selasa. Nasib baik bahan-bahan seperti daging lembu dan ayam telah beli awal,” kata beliau sambil menambah terdapat beberapa bahan yang belum dibeli seperti santan.
SANGKA PENGUMUMAN RAYA BERITA PALSU
Di Johor, orang ramai membanjiri pasar raya untuk membeli barangan pada saat-saat akhir dengan ada yang dilihat beratur panjang untuk menunggu membuat pembayaran.
Bagi Raja Rosilah Raja Mahmood, 35 tahun, pada mulanya, beliau mengingatkan pengumuman Hari Raya yang jatuh esok sebagai berita palsu.
“Saya ingat prank (penipuan), memang terkejut...terus saya dan suami pergi pasar raya beli barang. Mujur sempat juga beli barang kelengkapan yang lain beberapa hari lepas,” ujarnya.
Di Terengganu pula, kedai gunting rambut antara yang menjadi tumpuan pada malam Raya bagi persiapan akhir sebelum Aidilfitri.
Pemilik kedai gunting FRZ Barbershop, Saiful Md Dahan, 25 tahun, berkata sebaik sahaja pengumuman rasmi Hari Raya, kedainya diserbu orang ramai yang sedikit kelam kabut ingin mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut.
“Malam ini sahaja sudah ada 60 pelanggan datang ke kedai. Saya terima juga kehadiran pelanggan walaupun persiapan raya saya sendiri belum disiapkan lagi kerana simpati dengan pelanggan,” katanya.
Encik Saiful berkata beliau dan seorang lagi pekerja akan membuka kedai guntingnya, yang terletak di Kampung Tebauk Kuala Nerus, sehingga 4.00 pagi bagi menampung jumlah permintaan yang sangat tinggi.
Di Selangor, tinjauan sekitar bandar raya Shah Alam mendapati terdapat beberapa barangan keperluan dan makanan untuk hari raya sudah habis dijual.
Penjawat awam, Mohd Muizzuddin Abdullah, 30 tahun, berkata beliau sudahpun mengunjungi lebih lima kedai runcit dan serba guna sekitar Setia Alam bagi mencari ais bagi persiapan raya, namun sudah kehabisan.
BERPUSU TUNAI ZAKAT FITRAH
Sementara itu Orang ramai yang mengunjungi Bazar Aidilfitri di Jalan Stadium, Kuantan tidak melepaskan peluang untuk menunaikan zakat fitrah mereka pada malam Raya.
Memandangkan tarikh hari Raya pada 2 Mei, mereka sanggup beratur untuk membayar zakat fitrah melalui beberapa amil dari Pusat Kutipan Zakat Pahang yang ditugaskan di kawasan itu.
Mohd Azrin Shukor, 45, berkata, pada awalnya dia berhasrat menunaikan zakat fitrah sehari sebelum Aidilfitri tetapi tidak menyangka Aidilfitri disambut lebih awal.
Mohd Hasril Jailani, 45 tahun, ketika ditemui Astro AWANI, berkata walaupun terpaksa bergegas ke Bazar Aidilfitri semata-mata untuk membayar zakat fitrah namun usahanya berbaloi.
"Bukan tidak boleh bayar pagi hari Raya tetapi bimbang juga tidak sempat. Sebab saya percaya, ramai yang membayar zakat fitrah mereka pada hujung-hujung Ramadan," katanya yang terpaksa meredah trafik yang sesak untuk menunaikan ibadah itu.
Sementara itu, amil, Ahmad Zamzamiri Ahmad, memberitahu Astro AWANI kaunter yang dibuka untuk pembayaran zakat fitrah penuh dengan orang ramai yang beratur bermula jam 8.30 malam.
"Urusan pembayaran zakat fitrah bagi setiap seorang tidak sampai seminit pun, jadi urusan lebih cepat dan mereka yang beratur pun tidak lama.
"Cumanya, apabila menjelang tengah malam semakin ramai pula yang beratur. Namun, saya menerima kehadiran mereka untuk menunaikan ibadah tersebut," ujarnya.
ALIRAN TRAFIK PERLAHAN, SESAK
Sementara itu, aliran trafik di beberapa lebuh raya dan jalan utama menuju ke utara serta pantai timur bergerak perlahan berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri pada Isnin.
Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi laman Twitternya memaklumkan aliran trafik sesak di laluan Lentang menuju ke Bentong, Pahang dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala Plaza Tol Gombak setakat 10.50 malam semalam.
Sementara itu, menurut laman rasmi Twitter PLUSTrafik, aliran trafik dilapor perlahan di dua kilometer arah utara dari Bandar Cassia ke Bukit Tambun, Pulau Pinang, setakat 9.50 malam semalam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.