Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Tidak sanggup tunggu walau sehari": Keluarga bersatu semula selepas China akhirnya buka sempadan

Anggaran Waktu Membaca:

BEIJING: China sudah mula menyambut ketibaan para pelawat antarabangsa tanpa syarat kuarantin buat julung-julung kalinya, sedang ia menarik balik kesemua kawalan sempadan dan sekatan pandemik, sekali gus menandakan berakhirnya dasar sifar COVID-19 di negara tersebut. 

Penerbangan dari Kanada, Singapura dan New York adalah antara yang pertama mendarat di lapangan terbang di Guangzhou, Shenzhen dan Shanghai pada awal Ahad (8 Dis), hari pertama para pelawat asing dibenarkan mengunjungi China tanpa sebarang sekatan sejak pandemik melanda, lapor South China Morning Post. 

Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou dijadual menerima lebih 2,000 penumpang menerusi 14 penerbangan dari Doha, Dubai, Jakarta, New York, Seoul dan bandar-bandar lain pada Ahad, lapor Guangzhou Daily. 

Perjalanan antarabangsa semakin merancak, dengan syarikat-syarikat penerbangan menjadualkan lebih banyak penerbangan mulai bulan ini. 

Syarikat penerbangan China Eastern Airlines menjadualkan 184 penerbangan antarabangsa melalui 48 laluan pada Januari, termasuk tiga penerbangan setiap minggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai ke ibu kota Hungary, Budapest, Auckland di New Zealand dan Sydney di Australia, menurut penyiar awam CCTV. 

Syarikat penerbangan tambang murah Spring Airlines mengendalikan penerbangan harian dari Shanghai ke Phuket, Thailand dan tiga penerbangan setiap minggu dari Guangzhou ke Chiang Mai di utara Thailand. 

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong Shanghai, kemudahan pencegahan dan pengasingan COVID-19 di dewan ketibaan antarabangsa dimansuhkan pada lewat Sabtu (7 Jan), lapor akhbar digital Shanghai, The Paper. 

Awal Ahad, seorang lelaki bernama Lee memegang sepanduk "Welcome Home" ("Selamat Pulang" sedang beliau menantikan kepulangan anak perempuannya yang menuntut di New Zealand, ke Shanghai. 

"Sudah tiga tahun sejak kami bertemu dengannya. Kami tidak mahu menunggu walau sehari lagi," kata Encik Lee kepada The Beijing News. 

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou di selatan China, seorang pelajar bernama Hao yang sedang menantikan ibu bapanya berkata beliau begitu ghairah untuk bersatu semula dengan keluarganya selepas tiga tahun. 

"Saya bimbang tentang kuarantin. Sejak sekian lama saya terkilan untuk pulang ke tanah air. Sekarang saya berasa amat gembira," kata Hao kepada Guangdong Television. 

"Kami akan meluangkan masa di Guangzhou dan pulang ke rumah untuk menyambut Tahun Baru Cina." 

Beijing mengumumkan pada bulan lalu bahawa setakat sehingga 8 Januari, para pelawat ke China hanya dikehendaki menunjukan hasil negatif bagi ujian PCR dalam tempoh 48 jam yang lalu. 

Keputusan itu dengan rasminya memansuhkan syarat kuarantin dan ujian COVID-19 sebaik tiba di negara tersebut, yang sudah dikuatkuasakan sejak peringkat awal pandemik, sekali gus menandakan peralihan negara itu untuk hidup bersama COVID-19. 

Para pelawat juga tidak lagi dikehendaki membuat permohonan bagi mendapatkan kod kesihatan daripada kedutaan-kedutaan China di negara asal mereka sebelum melakukan perjalanan ke China. 

Had yang dikuatkuasakan terhadap jumlah penerbangan antarabangsa juga sudah digugurkan, meskipun para penumpang masih dikehendaki memakai pelitup semasa berada dalam pesawat. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan