Skip to main content

Dunia

Tidak perlu tutup parlimen; KKM 'ada pengalaman' tangani COVID-19, kata Khairy Jamaluddin

Tiada keperluan untuk menutup sidang mesyuarat Parlimen Malaysia meskipun terdapat kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kalangan warga Parlimen kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai rangka kerja dan pengalaman untuk menangani wabak itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak perlu tutup parlimen; KKM 'ada pengalaman' tangani COVID-19, kata Khairy Jamaluddin

Dewan Parlimen Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 05:30PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 05:33PM

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk menutup sidang mesyuarat Parlimen Malaysia meskipun terdapat kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kalangan warga Parlimen kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai rangka kerja dan pengalaman untuk menangani wabak itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata antaranya adalah seperti kekerapan ujian pengesanan COVID-19 selain mengasingkan mereka yang dikesan positif virus berkenaan.

“Kita (KKM) juga ada strategi dan vaksinasi (program). Dengan adanya semua strategi ini, kita harap bahawa bila berlakunya penularan kes, kita tidak perlu melaksanakan tindakan drastik seperti PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), perintah berkurung, tutup Parlimen dan sebagainya.

"Sekarang ini kita sudah ada pengalaman dan langkah-langkah seperti menutup Parlimen dan sebagainya menjadi langkah terakhir. Kalau sekiranya kita dapat buat ujian dengan kerap di Parlimen; (sekarang) kita buat dua hari ujian saringan (dalam seminggu), maka tiada keperluan untuk kita menutup perjalanan Parlimen,” katanya di sidang media perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini (1 Dis).

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan tentang sama ada terdapat keperluan untuk menggantung sementara Parlimen berikutan pengesanan 84 kes positif COVID-19, hasil saringan berkala yang dijalankan sepanjang persidangan Parlimen sejak 27 Oktober lalu.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan sebanyak 25 kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan berkala di Parlimen pada Isnin lalu (29 Nov) berkemungkinan besar adalah varian Delta.

Persidangan Dewan Rakyat kini sedang berlangsung sejak 27 Oktober hingga 16 Disember manakala sidang Dewan Negara akan bermula pada 8 Disember hingga 23 Disember 2021.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita