Tidak perlu tubuh parti baru ganti UMNO, kata Najib
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata tiada keperluan untuk mewujudkan parti baru menggantikan UMNO.
Mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata tiada keperluan untuk mewujudkan parti baru menggantikan UMNO.
Anggota Parlimen Pekan itu berkata beliau tidak akan menubuhkan parti baru sebaliknya akan memperkuatkan kembali UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.
“Darah daging saya UMNO dan BN. Jika benam kepala saya dalam air, saya tetap dengan pendirian saya untuk terus perjuangkan UMNO dan BN.
“Pada pendapat saya, apa yang penting sekarang adalah kita selamatkan UMNO dan BN daripada wujudkan parti baharu,” katanya sewaktu menjawab soalan pada ‘Majlis Santai Bersama Datuk Seri Najib” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini (3 Nov).
Majlis kira-kira dua jam itu turut dihadiri isterinya Rosmah Mansor dan kira-kira 2,000 rakan Facebook Najib.
Menurut bekas presiden UMNO itu, anggota parti seharusnya kembali melawan permainan persepsi, fitnah dan penipuan sehingga pengundi terpengaruh pada PRU14.
Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin UMNO seharusnya tidak perlu keluar parti dan menyertai parti lain hanya kerana tidak puas hati dengan apa yang berlaku ketika ini.
Jelas beliau, pemimpin UMNO seharusnya mengenang jasa dan budi parti termasuk semangat setiakawan dan bukannya survival politik semata-mata.
“Tidak pasti jika pemimpin UMNO mahu meninggalkan parti. Jawapan saya: Selamat Tinggal. Kami akan tetap bersama UMNO. Dulu susah dia cari siapa.
“Kenanglah budi UMNO. Jangan bila UMNO susah terus hendak tinggalkan. Di mana nilai setiakawan? Kita patut setia dan berjuang dengan UMNO. Saya sendiri akan terus pertahankan UMNO,” katanya.
Beliau berkata peletakan jawatannya sebagai presiden parti dibuat atas dasar tanggungjawab yang perlu dipikul seorang ketua namun perjuangan parti perlu diteruskan dan bukannya meninggalkan parti dan bertukar parti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.