Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak perlu permit solat, ziarah Masjidil Haram & Masjid Nabawi, umum Kementerian Haji dan Umrah Saudi

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Menyusuli pemansuhan semua sekatan COVID-19 oleh Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) negara itu turut mengumumkan kelonggaran untuk tidak lagi mewajibkan permit bagi ziarah dan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bermula Sabtu (5 Mac).

Bagaimanapun, menurutnya tiada perubahan bagi permit Umrah dan ziarah Raudhah.

“Ia masih diwajibkan seperti syarat tertera dalam aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna,” katanya.

Kementerian tersebut menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman Twitter rasminya juga menamatkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di Dua Masjid Suci umat Islam, iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kawasan tertutup di kedua-dua Masjid Suci berkenaan.

Menurut kementerian itu lagi, kanak-kanak bawah 5 tahun turut dibenarkan memasuki pekarangan Dua Masjid Suci.

“Kanak-kanak 5 tahun ke atas dan sudah divaksin boleh memasuki Haramain manakala bagi bawah 5 tahun, hanya boleh masuk ke halamannya,” menurut kementerian itu semasa menjawab soalan netizen di ruangan komen.

Kerajaan Arab Saudi pada Sabtu (5 Mac) mengumukan pemansuhan kesemua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua ketibaan ke negara itu.

Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi menerusi perkongsian infografik di Twitter menyatakan keputusan baru itu berkuat kuasa mulai Sabtu (5 Mac).

Keputusan itu antara lain membatalkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di semua lokasi, aktiviti serta acara tertutup dan terbuka.

Namun, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup masih dilaksanakan.

Selain itu, pengembara dari luar Saudi juga tidak lagi perlu menyediakan keputusan negatif ujian PCR atau RTK semasa ketibaan mereka.

“Bagaimanapun, semua ketibaan bagi semua jenis visa lawatan, wajib mendapatkan insurans yang meliputi kos rawatan daripada jangkitan COVID-19,” menurutnya.

Kementerian itu juga mengumumkan keputusan untuk menarik balik penggantungan penerbangan langsung dan ketibaan dari Afghanistan dan benua Afrika termasuk Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Mozambique, Malawi, Mauritius, Zambia, Madagascar, Angola, Seychelles, United Republic of Comoros, Nigeria dan Habsyah.

Kementerian tu menjelaskan bahawa langkah-langkah yang diambil adalah tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan Saudi, mengikut perkembangan situasi epidemiologi.

Setakat Sabtu, Arab Saudi mencatatkan 283 kes baru COVID-19 dengan hanya satu kes kematian di negara yang merekodkan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 747,119 kes itu.

Sumber : Bernama/AW/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan