Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak perlu kenakan sekatan tambahan terhadap Korea Utara, kata Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (29 Mac) berkata beliau memutuskan untuk menghentikan sekatan tambahan ke atas Korea Utara kerana berpendapat langkah itu tidak perlu dilakukan ketika ini, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak perlu kenakan sekatan tambahan terhadap Korea Utara, kata Trump

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijadual bertemu di Hanoi dari 27 hingga 28 Februari. (Gambar fail: Jonathan Ernst/Reuters)

Diterbitkan : 30 Mar 2019 02:07PM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 02:08PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (29 Mac) berkata beliau memutuskan untuk menghentikan sekatan tambahan ke atas Korea Utara kerana berpendapat langkah itu tidak perlu dilakukan ketika ini, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Bercakap semasa satu sidang media di Florida, Presiden Trump menjelaskan kekeliruan berhubung langkah yang dimaksudkannya apabila mengumumkan minggu lalu bahawa beliau sudah mengarahkan agar sekatan tambahan itu ditarik balik.

Pada mulanya, ramai berpendapat Presiden Trump menarik balik sekatan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat ke atas dua syarikat perkapalan China yang didakwa membantu Korea Utara mengelak sekatan itu.

Bagaimanapun, laporan susulan memetik kenyataan pegawai Amerika Syarikat sebagai menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan presiden itu merujuk kepada sekatan yang akan dikenakan pada masa akan datang.

Pada Jumaat (29 Mac), para wartawan bertanya Presiden Trump sama ada beliau marah dengan sekatan yang dikenakan Jabatan Perbendaharaan.

"Tidak sama sekali... mereka berhak berbuat demikian. Saya hanya memutuskan bahawa saya tidak akan membiarkan ia berlaku."

Presiden Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mengadakan sidang puncak kedua di Vietnam pada bulan lalu, dalam usaha memajukan perjanjian pelucutan senjata nuklear yang dicapai semasa sidang puncak pertama di Singapura pada Jun tahun lalu.

Namun, sidang puncak di Hanoi berakhir tanpa sebarang kata sepakat menyusuli desakan Amerika Syarikat agar Korea Utara melaksanakan pelucutan senjata nuklear sepenuhnya manakala Korea Utara pula mendesak agar Amerika Syarikat melonggarkan sekatan ke atas negara itu.

Sungguhpun demikian, Presiden Trump melahirkan kesediaan beliau untuk meneruskan rundingan.

"Saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan Kim Jong-un. Beliau adalah sesorang yang saya selesa untuk bergaul. Kami memahami antara satu sama lain," kata presiden itu.

"Mereka sedang menderita di Korea Utara. Mereka berdepan masa yang sukar dan saya tidak rasa sekatan tambahan pada masa ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Tetapi ini tidak bermakna saya tidak akan mengenakannya kemudian, cuma saya tidak rasa sekatan itu tidak perlu buat masa ini."

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan