Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Tidak perlu istiyharkan darurat bencana banjir di M'sia,' kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
MERSING: Kerajaan Malaysia tidak berhasrat melaksanakan darurat bencana kerana kejadian banjir ketika ini hanya melibatkan beberapa negeri dan daerah tertentu sahaja, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sudahpun melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi membantu kawasan terlibat ketika ini.

Bercakap dalam persidangan media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Politeknik Mersing, hari ini (28 Jan), beliau berkata tindakan sudah diambil bagi menyalurkan pelbagai bantuan kepada ketua isi rumah yang terlibat di kawasan yang dilanda bencana, termasuk bantuan pasca banjir.

Katanya kerajaan menerusi pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa menggembleng tenaga dan meningkatkan pengurusan serta usaha bagi membantu semua mangsa yang terlibat.

Turut sama hadir di sidang media itu ialah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dr Azmi Rohani.

Sementara itu Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan telah meluluskan serta-merta pelan jangka pendek pengurusan banjir di Mersing berjumlah RM10.5 juta (S$3.25 juta) bagi pembinaan tiga pam air dan rumah pam.

"Mersing amat memerlukan rumah pam sebagai langkah mencegah banjir jangka pendek. Oleh itu, saya luluskan serta-merta peruntukan RM10.5 juta (S$3.25 juta) bagi projek berkenaan, setiap satunya bernilai RM3.5 juta (S$1.08 juta). Ia akan disalurkan menerusi peruntukan sedia ada daripada Nadma.

"Saya akan koordinasikan perkara ini dengan Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Pegawai Daerah Mersing dan Jurutera Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta lain-lain agensi pelaksana," katanya, dan menambah kerajaan negeri telah memaklumkan bahawa Mersing memerlukan RM2.3 bilion (S$0.71 bilion) bagi mengatasi masalah banjir menerusi pelan jangka panjang.

"Bagaimanapun, mereka (buat masa ini hanya) memohon peruntukan sekurang-sekurangnya RM50 juta (S$15.47 juta) untuk disalurkan kepada kerajaan negeri dan daerah melalui JPS, bagi pelan jangka sederhana untuk membina tebatan banjir di kawasan-kawasan rendah di daerah itu

Terdahulu, Encik Ahmad Zahid turut melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing, dan mendengar taklimat situasi banjir di daerah itu, termasuk pelan mitigasi seperti rancangan tebatan banjir di lembangan Sungai Mersing dan Sungai Tenglu Besar yang disampaikan oleh jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Md Shahril Md Shamsudin. 

Setakat ini hanya tiga negeri dilanda banjir dengan jumlah mangsa tertinggi dicatatkan di Sabah, dengan jumlahnya melebihi 2,500 diikuti Johor dan Pahang.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan