Skip to main content

Dunia

'Tidak logik eksport ayam ketika bekalan di M'sia tidak cukup': KPDNHEP

Pemain industri luah rasa kecewa dengan keputusan kerajaan Malaysia menghentikan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun menyusuli isu kekurangan bekalan dalam negara.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak logik eksport ayam ketika bekalan di M'sia tidak cukup': KPDNHEP

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi. (Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 25 May 2022 07:50AM

KUALA LUMPUR: Pemain industri luah rasa kecewa dengan keputusan kerajaan Malaysia menghentikan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun menyusuli isu kekurangan bekalan dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi berkata beliau dihubungi oleh pemain industri yang mempersoalkan keputusan tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, pemain industri sepatutnya boleh menjangkakan langkah drastik itu akan diambil kerajaan ekoran desakan ketiadaan bekalan ayam yang mencukupi di pasaran, menurut laporan Sinar Harian.

"Sebab itu pemain industri perlu mainkan peranan memastikan bekalan mencukupi, jadi tak perlu kerajaan ambil keputusan drastik ini.

"Kita melihat negara lain juga ambil langkah sama kerana prihatin kepada rakyat sendiri. Jika ayam tak cukup dalam negara, tidak logik kita masih eksport ke negara luar.

"Ini bukan langkah selama-lamanya. Apa yang diharapkan keadaan akan pulih, apabila bekalan sudah mencukupi, maka kerajaan boleh benarkan bekalan dieksport semula," katanya mengulas keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil seperti diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media pada Isnin (23 Mei).

Beliau ditemui pada Kenduri Raya bersama sektor perdagangan dalam negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Piazza Pavillion Bukit Jalil pada Selasa (24 Mei).

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang menyifatkan keputusan kerajaan menghentikan eksport ayam dan membatalkan permit import (AP) bagi bahan makanan sebagai satu langkah tergesa-gesa, Alexander menjelaskan keputusan dibuat kerajaan adalah berdasarkan kepada keperluan.

"Ada aduan mengatakan bekalan tidak mencukupi sebab itu kita perlu pentingkan rakyat dahulu. Selagi belum belum memenuhi keperluan dalam negara maka kita larang eksport.

"Jika DAP kata itu tindakan melulu, bilakah masa yang sesuai? Kerajaan beri masa sebelum kuat kuasa, bukan hari ini umum esok terus laksana.

"Jika beri masa terlalu lama, lagi lama rakyat akan menderita. Jadi DAP kalau boleh jangan politik berlebihan," katanya seperti dinukil Sinar Harian.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita