Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tidak berdosa tinggalkan solat Jumaat jika tidak terpilih, kata Mufti Selangor

Tidak menjadi dosa ke atas mereka yang tidak menerima 'kad jemputan' untuk menunaikan solat Jumaat di 39 masjid terpilih di Selangor jika tidak menunaikan solat  berkenaan, jelas Mufti Selangor Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak berdosa tinggalkan solat Jumaat jika tidak terpilih, kata Mufti Selangor

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Jun 2020 07:34AM Dikemas Kini : 13 Jun 2020 07:37AM

SHAH ALAM: Tidak menjadi dosa ke atas mereka yang tidak menerima 'kad jemputan' untuk menunaikan solat Jumaat di 39 masjid terpilih di Selangor jika tidak menunaikan solat berkenaan, jelas Mufti Selangor Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Menurutnya, mereka yang tidak terpilih menjadi 40 jemaah adalah disebabkan oleh langkah pencegahan diambil kerajaan bagi membendung COVID-19 dan mereka boleh menggantikan solat berkenaan dengan solat zuhur.

“Sebagai umat Islam, kita perlu akur dengan ketetapan ini walaupun berat untuk diterima. Namun, ulil amri (pemerintah) bertanggungjawab melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang terbaik demi menjaga kemaslahatan umum," katanya dalam satu kenyataan semalam (12 Jun).

Mohd Tamyes berkata ketetapan itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini wabak COVID-19 yang belum ada penawarnya, maka langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berlandaskan prinsip maqasid syariah.

Pada Khamis, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dilakukan dengan 40 jemaah, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, di 39 masjid terpilih di negeri itu bermula semalam.

Bagaimanapun, pelaksanaan solat Jumaat harus mengikut garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Garis panduan JAIS menetapkan mana-mana umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi Google Form atau mengisi borang yang disediakan oleh pihak masjid dan sekiranya memenuhi SOP, mereka akan diberi ‘kad jemputan’ tersebut.

Bagi jemaah yang tidak menerima jemputan, mereka perlu menunggu untuk solat Jumaat pada minggu berikutnya dan dilarang hadir ke masjid, sebaliknya menunaikan solat zuhur di rumah masing-masing. 

Sumber : Bernama/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan