AS tidak akan tarik balik sekatan untuk berunding dengan Iran: Trump
Amerika Syarikat (AS) tidak akan menarik balik sekatan ke atas Iran sebagai pra syarat bagi rundingan, kata Presiden Amerika Donald Trump pada Sabtu (25 Jan).
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: Brendan Smialowski/AFP)
DUBAI: Amerika Syarikat (AS) tidak akan menarik balik sekatan ke atas Iran sebagai pra syarat bagi rundingan, kata Presiden Amerika Donald Trump pada Sabtu (25 Jan).
Semalam, Encik Trump membuat kenyataan itu dalam ciapan di laman twitter, seolah-olah memberi kenyataan balas kepada wawancara majalah Der Spiegel dengan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif.
“Menteri Luar Iran menyatakan negaranya mahu berunding dengan AS, bagaimanapun turut mahu sekatan dihapuskan. Tidak, terima kasih,” katanya.
Semalam, ciapan itu ditujukan kepada @FoxNews @OANN dalam bahasa Inggeris dan kemudian dalam bahasa Parsi.
Encik Mohammad Javad hari ini (26 Jan) menyiarkan petikan daripada wawancara dengan Der Spiegel yang diterbitkan pada Jumaat lalu, yang menyatakan negaranya masih terbuka untuk berunding dengan Amerika Syarikat jika sekatan ditarik balik.
“Trump dinasihatkan memberi komen dan keputusan mengenai dasar luar berdasarkan fakta, berbanding tajuk berita atau penterjemahan Farsinya,” katanya.
Ketegangan antara dua negara memuncak apabila Amerika Syarikat membunuh jeneral Iran, Qassem Soleimani, dalam serangan dron di Iran pada 3 Januari lalu, sekali gus mendorong Iran melancarkan serangan peluru berpandu di pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Ketegangan itu semakin meningkat apabila Presiden Trump memutuskan Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dengan kuasa dunia pada 2018 dan mengembalikan sekatan yang menyebabkan eksport dan ekonomi Iran merosot.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.