Skip to main content

Dunia

Tidak ada kes menteri dalam Kerajaan Perpaduan guna wang rakyat, tegas PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak ada kes menteri dalam Kerajaan Perpaduan guna wang rakyat, tegas PM Anwar

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 17 Jul 2023 07:36PM Dikemas Kini : 17 Jul 2023 07:38PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Ahad (16 Jul) berkata tidak satu pun menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya mengambil wang rakyat.

Ia berdasarkan siasatan agensi antirasuah negara itu.

"Sudah lapan bulan sejak saya mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memeriksa setiap menteri.

"Tidak ada satu pun kes menunjukkan menteri berkenaan mengambil wang rakyat," kata Encik Anwar dalam ucapannya di pelancaran jentera pilihan raya negeri Pulau Pinang.

Beliau menambah bahawa "ia adalah satu rekod dalam sejarah politik negara Malaysia".

Encik Anwar juga menarik perhatian bahawa ramai mantan menteri yang mendakwa mempertahankan nasib orang Melayu di Malaysia mempunyai rekod rasuah.

"Anda cakap tentang kejujuran, anda cakap tentang pentadbiran, tetapi dengan rekod anda? Biarkan pihak berkuasa siasat.

"Anda cakap dengan banyak tetapi semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, berbilion ringgit dibazirkan. Terdapat akaun bersama di luar negara, melibatkan berbilion ringgit," dakwa Encik Anwar, meskipun beliau tidak menyebut nama mantan menteri itu.

Beliau juga menggesa dihentikan permusuhan kaum di Malaysia.

"Jika kita teruskan isu orang Cina menyerang orang Melayu dan orang Melayu membenci orang Cina, apa yang akan terjadi? Para hadirin, ini adalah tanah air kita," kata Encik Anwar.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan mendakwa bahawa konsep Malaysia berbilang kaum akan menghakis hak Melayu dan menjadikan mereka “miskin”.
SAYA TIDAK MENGKHIANATI ORANG MELAYU DAN ISLAM: ANWAR

Dalam ucapan penutupnya di seminar Malaysia Madani peringkat Negeri Pulau Pinang pada Ahad, Encik Anwar menegaskan bahawa beliau tidak pernah menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk mengkhianati Islam dan orang Melayu di Malaysia.
Menurut Bernama, Encik Anwar berkata beliau tidak pernah memandang rendah orang Melayu dan agama Islam hanya kerana beliau menyokong Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow untuk menyandang jawatan ketua menteri.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita