Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada syarat baru bagi urusan bertanding pilihan raya M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada syarat baru bagi urusan bertanding pilihan raya M'sia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. (Gambar: Bernama)

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk menambah syarat baru bagi urusan pencalonan wakil untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, khususnya bagi calon yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (6 Sep), beliau berkata syarat pencalonan pilihan raya sedia ada yang termaktub dalam Perkara 48 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah mencukupi.

Ia menyatakan sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 (S$624.16) dan tidak mendapat pengampunan bebas, akan hilang kelayakan.

“Perkara itu perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

“Sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit. Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada, yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” katanya.

“Bagi memartabatkan demokrasi, tidak perlu menambah syarat-syarat baru bagi menghalang mana-mana individu daripada bertanding, sebagai contoh untuk menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” katanya.

Encik Wan Junaidi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Ahmad Yahaya yang mencadangkan kerajaan untuk mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya, termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan serta rasuah.

Mengenai individu yang dipilih sebagai Ahli Parlimen pula, Encik Wan Junaidi berkata keahlian individu terbabit tidak akan tergugur, melainkan syarat di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan ahli Parlimen dihukum dan belum mendapat pengampunan.

Katanya Perkara 48 (4) (c) menyatakan apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli Parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mempunyai enam peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan