Tiada surat rasmi berhubung kedudukan Yang Di-Pertuan Agong, kata Dr Mahathir
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menerima sebarang makluman atau surat rasmi mengenai dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, akan melepaskan jawatannya.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menerima sebarang makluman atau surat rasmi mengenai dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, akan melepaskan jawatannya.
“Saya tidak menerima sebarang surat atau makluman rasmi mengenai apa-apa. Oleh itu, saya tidak mahu mengulas sebarang khabar angin,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini (4 Jan).
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan kononnya Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini di sebalik spekulasi mengenai kedudukan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Ditanya sama ada mesyuarat itu diadakan, Dr Mahathir berkata beliau tidak sedar mengenai perkara itu dan hanya mendengar khabar angin sama seperti orang awam.
"Setahu saya, baginda sudah memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Muhammad V beristirahat menjalani rawatan dari 2 November hingga 31 Disember tahun lalu dengan tugas beliau dipangku oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sementara itu, mengulas mengenai kritikan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap kerajaan PH, Dr Mahathir berkata putera Johor itu tidak memahami konsep kerajaan persekutuan.
"Dia tidak faham tentang federation (persekutuan), masa itu dia belum lahir, tapi saya lahir masa itu. Kita buat persekutuan bermakna persekutuan kuasai seluruh negara," katanya.
Perdana Menteri Malaysia itu menambah bahawa kerajaan persekutuan berhak mengeluarkan kenyataan berhubung isu di negeri-negeri.
"Kita ada senarai apa yang dikuasai oleh persekutuan, apa yang dikuasai negeri.
"Tetapi tidak ada disebut bahawa persekutuan tak boleh keluar kenyataan... kalau negeri keluar kenyataan, kita tidak boleh komen," katanya.
Baru-baru ini, Tunku Ismail mengingatkan kerajaan PH untuk tidak mempolitikkan isu dan fokus kepada pentadbiran negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.