Skip to main content

Dunia

Tiada rumusan awal berhubung nahas pesawat Air India sehingga laporan akhir dikeluarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada rumusan awal berhubung nahas pesawat Air India sehingga laporan akhir dikeluarkan

Bangkai pesawat Air India Boeing 787-8 Dreamliner di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, di Ahmedabad, India. (Gambar: Reuters/Amit Dave)

NEW DELHI: Menteri Penerbangan Awam Persekutuan India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu pada Sabtu (12 Jul) menegaskan laporan awal yang diterbitkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Pesawat (AAIB) berhubung nahas pesawat Air India pada bulan lalu yang meragut 260 nyawa, masih berdasarkan penemuan awal dan sebarang rumusan hanya akan dibuat selepas laporan akhir siap sepenuhnya.

“Ini hanya laporan awal. Pihak kementerian sedang menganalisisnya, tetapi saya rasa lebih wajar untuk kami mengulas selepas laporan akhir dikeluarkan,” katanya kepada media.

Laporan awal yang dikeluarkan AAIB awal Sabtu mendedahkan bekalan bahan api ke enjin pesawat terputus susulan kekeliruan antara juruterbang berhubung pergerakan suis enjin di kokpit.

Laporan berkenaan tidak menemuiebarang kerosakan besar pada pesawat atau enjinnya dan tidak mengesyorkan sebarang tindakan terhadap pengeluar atau pengendali pesawat B787-8 pada peringkat siasatan ketika ini.

Susulan laporan itu, syarikat penerbangan Air India dan pengeluar pesawat Boeing menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama dalam siasatan yang dijalankan AAIB.

Laporan setebal 15 muka surat yang diterbitkan sebulan selepas nahas itu menyediakan gambaran rasmi pertama mengenai detik-detik akhir tragedi udara terburuk India dalam beberapa dekad, dan menimbulkan persoalan baharu mengenai punca kegagalan enjin berkembar secara serentak.

Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India yang dalam perjalanan ke London itu terhempas pada 12 Jun, sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, kira-kira 17 kilometer di selatan Gandhinagar, ibu negeri Gujarat, mengorbankan semua penumpang dan anak kapal kecuali seorang daripada 242 orang di dalamnya.

Sumber : Reuters/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita