Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia eksklusif

"Tiada proses terbuka, saya dipecat begitu saja," luah Khairy Jamaluddin

Anggaran Waktu Membaca:
"Tiada proses terbuka, saya dipecat begitu saja," luah Khairy Jamaluddin

Mantan menteri kesihatan Malaysia dan mantan ketua pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ketika diwawancara oleh CNA menyusuli pemecatannya daripada UMNO.

Diterbitkan : 31 Jan 2023 07:14PM Dikemas Kini : 31 Jan 2023 10:19PM
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin tidak akan mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya daripada UMNO dan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

"Tiada surat beri sebab, tiada proses terbuka, saya tidak diminta tampil di hadapan lembaga disiplin, sekadar dipecat begitu saja oleh parti saya," kata Encik Khairy, 47 tahun, dalam wawancara bersama CNA.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu (27 Jan) menyusuli mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan berkata Encik Khairy adalah antara anggota-anggota yang dipecat kerana melanggar peraturan disiplin parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November lalu.
ANGGOTA UMNO SELAMA 23 TAHUN

"Saya seorang anggota UMNO selama 23 tahun. Dari segi politik, ia merupakan segala-galanya bagi saya," kata Encik Khairy, yang juga mantan Ketua Pemuda UMNO. "Untuk ia terjerumus hingga ke keadaannya sekarang adalah sesuatu yang sangat tragik dan menyedihkan.

"Dan saya percaya bahawa ia akan menjadi sangat sukar bagi UMNO untuk pulih daripada (keadaannya sekarang), bukan kerana ia memecat saya, tetapi kerana hala tuju UMNO secara keseluruhannya semakin huru-hara - tinggal 26 kerusi, keberatan untuk berubah, takut untuk membuka dua jawatan tertinggi kepada persaingan terbuka, dan sokongan awam yang paling rendah dalam sejarahnya."

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjadi perhatian ramai setelah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata sehari sebelum itu bahawa partinya akan menjalani "pembersihan secara besar-besaran" untuk menyingkirkan "sesiapa saja yang mensabotaj parti dan mereka yang "menembak kaki sendiri".
Sementara itu, mantan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan mantan Ketua Penerangan Shahril Hamdan adalah antara sebilangan ahli politik yang digantung daripada parti.

Apabila ditanya sama ada beliau merupakan harapan UMNO untuk bangkit semula, Encik Khairy berkata: "Saya tidak fikir ia melibatkan saya sahaja. Saya fikir ada sepasukan pemimpin yang ingin tampil sebagai pemimpin UMNO.

"Usaha membangkitkan semula parti tidak akan dapat dijalankan dengan sekelip mata saja. Tetapi kami percaya bahawa kami dapat mempersembahkan kepada para anggota satu wawasan untuk membina semula UMNO, dan kami tidak dibenarkan untuk berbuat demikian."

KENCUNDANG DALAM PERSAINGAN TUJUH PENJURU

Encik Khairy adalah Ahli Parlimen tiga penggal bagi kawasan undi Rembau di Negeri Sembilan sebelum beliau dikerahkan ke Sungai Buloh di Selangor semasa PRU15 pada 19 Nov lalu. Beliau akhirnya kalah dalam persaingan tujuh penjuru.

Buat masa ini, Encik Khairy sedang mencatur perjalanan politik seterusnya dengan mungkin membuat kemunculan di Selangor dalam PRN akan datang.

"Ia sesuatu yang sedang saya mempertimbangkan, seperti mana saya sudah memaklumkan secara terbuka. Saya sudah meninggalkan Negeri Sembilan, saya sudah berhijrah ke Selangor, meskipun saya datang ke Sungai Buloh pada saat-saat terakhir tetapi saya fikir inilah tempatnya untuk pusat politik Malaysia," katanya.

"Di sinilah medannya. Dan saya fikir saya ingin membina pangkalan politik baru saya di sini."

Namun, masih belum jelas di bawah tiket parti yang mana satu akan Encik Khairy bertanding dalam pilihan raya akan datang

"Saya fikir landskap politik agak sengit sekarang dengan begitu banyak parti politik," katanya.

"Maka itu, menubuhkan sebuah parti baru adalah satu pilihan. Menyertai parti lain juga merupakan satu pilihan. Jadi saya fikir saya akan mengambil masa dan melihat apa yang lebih munasabah."

TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN KEMBALI KE PANGKUAN UMNO

Sungguhpun demikian, Encik Khairy tidak menolak kemungkinan yang beliau mungkin akan kembali ke pangkuan UMNO pada suatu hari kelak.

"Namun ia mestilah UMNO yang jauh lebih berbeza untuk saya kembali kepadanya," ujar Encik Khairy. "Dan jika saya pulang ke pangkuan UMNO dalam keadaan seperti hari ini, saya fikir ia hanya satu pembaziran masa yang sangat besar."

Encik Khairy sudah berkecimpung dalam bidang politik sejak 23 tahun lalu semasa pentadbiran bapa mertuanya, perdana menteri kelima Malaysia dan mantan pemimpin UMNO Abdullah Ahmad Badawi.

"Ramai yang mengatakan (haluan kerjaya) saya mudah," katanya. "Bapa mertua saya adalah PM, tetapi itu bertahun-tahun dahulu. Sejak itu, haluan kerjaya saya sudah banyak berubah."

Encik Khairy berkata beliau seolah-olah 'terpinggir' apabila Encik Najib Razak mengambil alih tampuk kepimpinan negara sebagai perdana menteri Malaysia yang seterusnya.

"Saya terpinggir selama lima tahun, tidak dilantik sebagai menteri dan kemudian saya menyertai Kabinet. Selepas itu kami kalah, dan saya terpinggir sekali lagi. Kemudian saya kembali ke Kabinet. Saya hilang segala-galanya. Jadi ya, saya mungkin bermula dengan kedudukan yang kukuh, tetapi ia sudah banyak berubah sejak itu," kata Encik Khairy yang merujuk kepada pergolakan politik di Malaysia.

"Jadi, ya, saya terima hakikat apabila ada yang mengatakan bahawa permulaan (haluan kerjaya) saya mudah. Tetapi jika anda meletakkan diri anda dalam kedudukan saya, ia ibarat 'roller-coaster."
Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan