Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada niat batalkan aturan perjalanan khas dengan S'pura, jelas Gabenor wilayah Kepulauan Riau

Tiada niat untuk membatalkan aturan perjalanan khas yang disarankan antara Kepulauan Riau Indonesia dengan Singapura, kata gabenor wilayah Ansar Ahmad pada Ahad (10 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada niat batalkan aturan perjalanan khas dengan S'pura, jelas Gabenor wilayah Kepulauan Riau

Terminal feri Bandar Bentan Telani di Bintan pada 24 November 2020. (Gambar: Kiki Siregar)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 07:49AM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 07:50AM

JAKARTA: Tiada niat untuk membatalkan aturan perjalanan khas yang disarankan antara Kepulauan Riau Indonesia dengan Singapura, kata gabenor wilayah Ansar Ahmad pada Ahad (10 Okt).

Awal minggu lalu, media Indonesia serta cawangan media serantau lain, termasuk CNA, melaporkan aturan perjalanan khas yang diusulkan sudah dibatalkan. Ini berdasarkan ulasan yang dilaporkan oleh agensi berita tempatan, Antara.

Dalam satu sidang media maya pada Ahad (10 Okt), gabenor itu berkata tiada satu kenyataan pun daripada pemerintah wilayah Kepulauan Riau yang meminta untuk membatalkan aturan perjalanan khas tersebut.

“Sebaliknya, kami menggalakkan untuk mempercepatkan aturan perjalanan khas ini supaya direalisasikan," ujarnya.

“Malam ini, saya mesti menjelaskan aturan perjalanan khas ini sudahpun dibincangkan buat sekian lama disebabkan keadaan COVID-19 di Kepulauan Riau sudah jauh lebih baik, sudah stabil. Presiden berkata tidak lama lagi beliau akan membuka kedua-dua kepulauan Bali dan Riau kepada pelancong asing dari beberapa negara, ditentukan oleh pemerintah pusat," kata Encik Ahmad.

Awal dari itu, pemerintah pusat mengumumkan lapangan terbang Bali akan dibuka semula kepada pelancongan antarabangsa dari beberapa negara pada 14 Oktober.

Dalam satu laporan yang diterbitkan pada 6 Oktober, Encik Ahmad ditukil sebagai berkata bahawa aturan perjalanan khas yang disarankan sudahpun dibatalkan kerana "jumlah kes COVID-19 di Singapura masih tinggi".

Beliau menarik perhatian pada Ahad bahawa pemerintah pusat adalah pembuat keputusan muktamad apabila ia melibatkan isu pembukaan semula.

“Berhubung keadaan COVID-19 di Singapura, ia tentunya pertimbangan pemerintah pusat dan ia akan dibincangkan esok (11 Okt)," kata gabenor itu.

“Harap-harap esok akan ada juga satu keputusan tentang yang mana satu akan dibuka, yang mana akan menjadi projek perintis, pelabuhan mana akan dibuka. Kami mengusulkan Nongsa Pura (terminal feri di Batam) boleh dibuka."

Aturan perjalanan khas diusulkan antara Singapura dengan Batam Nongsa dan Bintan Lagoi di Kepulauan Riau pertama kali dicadangkan oleh Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Sandiago Uno pada Mac ketika beliau mengunjungi Batam.

Beliau kemudian menambah "koridor perjalanan selamat" bertujuan untuk menarik pelancong dari Singapura ke Indonesia dan bukan yang sebaliknya.

Beberapa hari kemudian, Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan berkata semasa lawatannya ke Jakarta bahawa kedua-dua negara seharusnya memiliki "tahap kawalan yang sama" terhadap penularan COVID-19 sebelun aturan perjalanan boleh mula disambung semula.

Pemerintah Kepulauan Riau kemudian menyarankan kepada kementerian pelancongan Indonesia bahawa koridor perjalanan boleh bermula pada Mei atau 1 Jun tetapi rancangannya digantung apabila Indonesia mengalami gelombang kedua COVID-19 yang memuncak pada pertengahan Julai.

Apabila jumlah kes mula merosot pada Ogos, para pegawai Kepulaun Riau sudahpun beberapa kali berkata mereka berharap untuk membuka pintunya kepada pelancong rakyat Singapura. Pemerintah pusat, bagaimanapun, belum memberikan sebarang petanda bila rancang itu boleh menjadi kenyataan.

Semasa sidang media pada Ahad, Encik Ahmad berkata pemerintah wilayah mengusulkan tempoh kuarantin bagi aturan perjalanan khas seharusnya tiga hari kerana tempoh purata para pelancong berada di Bintan dan Batam adalah tiga hari.

Beliau juga berkata para pelawat seharusnya dikenakan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) di negara mereka dan setelah pulang. Mereka juga harus sudah lengkap divaksin.

Setakat Ahad, Indonesia melaporkan 894 kes baru COVID-19, lima daripadanya di Kepulauan Riau, sekali gus membawa jumlah terkumpul kes kepada sekitar 4.2 juta.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan