Tiada masalah orang bukan Islam guna masjid sebagai penempatan banjir
Tiada masalah bagi mangsa banjir bukan Islam menggunakan masjid, surau dan sekolah agama sebagai pusat penempatan sementara.
Datuk Zainal Abidin Jaffar. (Gambar: Facebook)
PUTRAJAYA: Tiada masalah bagi mangsa banjir bukan Islam menggunakan masjid, surau dan sekolah agama sebagai pusat penempatan sementara.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata orang bukan Islam boleh menggunakan rumah ibadat Islam itu dengan mengikuti kaedah-kaedah fiqh yang sudahpun ditetapkan.
Beliau berkata pihaknya sedang membangunkan 'Fiqh Banjir' yang menerangkan adab dan peraturan dalam surau dan masjid kepada orang bukan Islam yang menggunakan rumah ibadat itu.
"Silakanlah (guna masjid dan surau sebagai penempatan sementara). Alhamdulillah jawatankuasa (masjid dan surau) tidak ada halangan. Begitu juga yang berlaku di Kelantan sekarang. Pusat pemindahan mungkin jauh satu atau dua kilometer tetapi yang terdekat dan selamat adalah masjid, surau atau sekolah agama.
"Jadi, sekarang ini kita sudah guna pakai untuk yang terdekat. Senang, bila air surut mereka senang balik untuk lihat rumah. Kadang-kadang dia nak keluar rumah tu susah. Jadi, apabila macam tu kita gunakan yang terdekat...tidak ada masalah," katanya kepada pemberita semalam (2 Dis).
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Musibah Banjir Kepada Masjid dan Surau negeri Kedah dan Pulau Pinang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Hotel Seri Malaysia.
Sebanyak 10 masjid dan tiga surau di Kedah dan Pulau Pinang yang terjejas banjir pada 4 Nov lalu masing-masing menerima wang tunai RM10,000 (S$3,000)(masjid) dan RM5,000 (S$2,000)(surau) serta 4,000 naskah al-Quran.
Datuk Zainal Abidin berkata 'Fiqh Banjir' itu mula diperkenalkan pada kejadian banjir di Pulau Pinang 4 Nov lalu dan ia turut diguna pakai di Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, beliau berkata Jakim turut menubuhkan pasukan kaunseling kerohanian untuk membantu menenangkan mangsa-mangsa yang kehilangan harta benda dalam kejadian banjir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.