Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada masalah jika Anwar bertanding di Tambun, kata Naib Pengerusi DAP Perak

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: DAP Perak berpandangan tiada masalah sekiranya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, lapor astro AWANI pada Isnin (5 Sep).

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata ini kerana kehadiran Encik Anwar mampu memberi sokongan tambahan kepada PH Negeri dalam PRU15.

Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berpandangan Encik Anwar akan membuat pelbagai pertimbagan sama ada kerusi tersebut akan menjadi sesuatu yang berbaloi untuknya.

“Pada pandangan saya, tiada masalah untuk dia (Anwar) bertanding di Tambun tetapi apakah dia akan menurunkan ‘standard’ dia ke situ, adakah berbaloi?

“Ini memandangkan beliau adalah calon Perdana Menteri dan calon lawan beliau seharusnya individu yang setaraf dengan beliau.

"Jadi, dia harus mempertimbangkan juga kedudukannya dalam arena politik sebelum dia datang bertanding di situ,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya pada Isnin (5 Sep).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan Encik Anwar bertanding untuk merebut kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

Encik Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi turut mendedahkan bahawa buat masa ini belum ada sebarang ketetapan rasmi dibuat berhubung kedudukan calon dan kerusi di situ.

"Saya fikir dia cuma memberi maklum balas kepada soalan pemberita saja (berkenaan bertanding di Parlimen Tambun).

"Dia tidak mengatakan secara rasmi akan bertanding di Tambun, tetapi bagi kami kalau ‘bos besar’ hendak datang, ia memberi kelebihan kepada kami," ujar beliau, seperti dinukil Astro AWANI.

Pada 11 Ogos lalu, Encik Anwar dilaporkan sebagai bersedia mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada PRU15.

Antara kerusi dicadangkan termasuklah kawasan Parlimen Tambun yang kini disandang Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebelum itu, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan sedia memberi laluan kepada Encik Anwar untuik bertanding kerusi Parlimen itu dan ini dipersetujui akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.

Selain Encik Anwar, media juga melaporkan Abdul Aziz turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi sama pada PRU15.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan