Skip to main content

Dunia

Tiada makluman, penumpang kecewa terhadap mogok pemandu bas Johor

Anggaran Waktu Membaca:
 Tiada makluman, penumpang kecewa terhadap mogok pemandu bas Johor

Mogok itu difahamkan berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu terhadap penyelarasan struktur gaji dan pemotongan elaun yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Jul 2025 07:18AM Dikemas Kini : 22 Jul 2025 07:34AM
JOHOR BAHRU: “Saya terkejut, langsung tidak ada makluman".

Demikian luahan seorang kakitangan swasta, Saiful Umar, 37 tahun, yang antara ribuan rakyat Malaysia terkesan menyusuli tindakan mogok mengejut oleh kira-kira 100 pemandu bas Malaysia yang beroperasi ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), awal pagi Isnin (21 Jul).

Menurut Encik Saiful, beliau tiba di BSI seawal pukul 5.00 pagi seperti biasa namun terkejut apabila mendapati beberapa perkhidmatan bas tidak beroperasi.

“Tiba-tiba semua pemandu mogok. Langsung tiada makluman atau notis awal. Kami memang tidak bersedia. Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan, malah menjejaskan kerja serta imej kami di tempat kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin (21 Jul).

Beliau berkata keadaan itu memaksa segelintir penumpang termasuk dirinya untuk berjalan kaki sejauh satu hingga dua kilometer merentas Tambak Johor untuk ke tempat kerja di Singapura.

“Memang letih. Bila ramai perlu berjalan serentak, keadaan jadi sesak dan tidak selamat. Kami berharap pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan segera dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Encik Saiful turut memaklumkan beliau terpaksa menumpang rakan untuk pulang ke rumah di Tampoi kerana bimbang kejadian sama berulang pada sebelah petang.

Sebelum itu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan keadaan sesak di sekitar BSI sekitar pukul 5.30 pagi dipercayai akibat gangguan perkhidmatan bas menyusuli mogok tersebut.

Difahamkan, mogok itu berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu terhadap penyelarasan struktur gaji dan pemotongan elaun yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang lagi penumpang, K. Ramesh, 40 tahun, turut meluahkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku, terutama kepada golongan pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bas.

“Masalah dalaman sepatutnya diselesaikan secara tertutup. Jangan libatkan penumpang yang hanya mahu cari rezeki,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pemandu bas nekad melancarkan mogok sebagai bantahan terhadap penyelarasan struktur gaji baharu yang dipercayai menyebabkan pendapatan mereka merosot.

Seorang pemandu, yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35 tahun, mendakwa sebelum ini mereka memperoleh antara RM2,800 (S$850) hingga RM2,900 (S$ 880) sebulan, namun selepas pelarasan, jumlah itu menurun kepada bawah RM2,000 (S$600).

Sekalipun demikian, tinjauan Bernama di sekitar Tambak Johor sekitar pukul 6.30 petang mendapati operasi bas kembali berjalan seperti biasa dan tiada lagi kelihatan rakyat Malaysia berjalan kaki merentas tambak.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengesahkan kejadian mogok tersebut dan memaklumkan beliau sudah melakukan lawatan pemantauan ke BSI selama dua jam bermula 4.00 pagi.

Menerusi satu catatan di Facebook, beliau berkata lawatan itu turut disertai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura serta operator-operator bas awam bagi memantau operasi kaunter dan perkhidmatan bas.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut mencadangkan agar syarikat pengendali bas di Singapura memulakan operasi lebih awal, iaitu seawal pukul 4.30 pagi dan menambah kekerapan perkhidmatan memandangkan jumlah penumpang yang meningkat setiap bulan.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita