Tiada laporan setakat ini laman kerajaan M'sia digodam
Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam setakat ini selepas ancaman dibuat oleh kumpulan penggodam Anonymous Malaysia.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam setakat ini selepas ancaman dibuat oleh kumpulan penggodam Anonymous Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.
Beliau berkata sekiranya tindakan penggodaman tersebut dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
“Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan kegiatan sebegini (menggodam), siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 (S$49,159) atau hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya kepada Bernama pada Selasa (26 Jan).
Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial baru-baru ini.
Antara dakwaan “Anonymous Malaysia” ialah sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.
Encik Zainuddin turut mengharapkan orang ramai akan memberikan sokongan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penggodaman.
“Masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai kesan terhadap rakyat dan negara ini. Sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM memandang serius terhadap ancaman kumpulan penggodam terbabit.
“Kami sedar (ancaman penggodaman) sebab itu, ia sedang dipantau oleh JSJK,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.