Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada lagi hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan mencuri, berjudi, zina di Aceh

Wilayah Aceh tidak akan lagi menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai atau membenarkan hukuman seumpama itu dirakam, menurut ketua pemerintah wilayah itu hari ini (12 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada lagi hukuman sebat di khalayak ramai bagi kesalahan mencuri, berjudi, zina di Aceh

Hukuman sebat tidak lagi dilakukan depan khalayak di Aceh. (Gambar: REUTERS/Beawiharta/File Photo)

Diterbitkan : 12 Apr 2018 08:13PM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 08:15PM

BANDA ACEH: Wilayah Aceh tidak akan lagi menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai atau membenarkan hukuman seumpama itu dirakam, menurut ketua pemerintah wilayah itu hari ini (12 Apr).

Sebaliknya, hukuman itu akan dijalankan di dalam penjara.

Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia, yang mengamalkan undang-undang Syariah dan melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai bagi jenayah seperti mencuri, berjudi dan zina.

Pada tahun 2014, wilayah itu turut mengharamkan kegiatan homoseksual.

Langkah mengehadkan akses kepada hukuman sebat itu dibuat hampir setahun selepas dua lelaki yang disabit kesalahan melakukan hubungan seks, disebat di depan orang ramai dan imej hukuman mereka disiarkan secara langsung dan dimuat naik di Internet, mencetuskan kritikan antarabangsa.

"Pesalah sudah dihukum sekali, tetapi jika ia dirakam dan dimuat naik ke YouTube, (seolah-olah) dia dihukum seumur hidup," kata Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf, yang akan mengeluarkan dekri untuk mengubah undang-undang itu,

Beliau menambah hukuman sebat akan dijalankan di dalam penjara dan orang awam serta media dibenarkan menyaksikannya tetapi tidak dibenarkan merakam gambar mahupun video.

Kanak-kanak pula tidak lagi dibenarkan menyaksikan hukuman sedemikian.

"Bayangkan jika kanak-kanak menyaksikan hukuman tersebut dan ada yang bertepuk tangan. Adakah ini yang dimaksudkan dengan undang-undang Islam?" tambah beliau.

Hukuman sebat secara terbuka mula diperkenalkan di Aceh pada tahun 2005 dan disokong oleh ramai rakyat Aceh.

Beberapa anggota majlis perundangan wilayah bagaimanapun tidak bersetuju dengan dekri yang bakal dikeluarkan gabenor Aceh itu. Dekri tersebut tidak memerlukan kelulusan majlis.

"Perkara seperti ini sepatutnya dibawa berbincang dengan majlis. Jika tidak ia tidak mengikut perlembagaan," kata Speaker Majlis, Muharuddin. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan