Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tiada lagi had usia bagi kanak-kanak untuk masuk Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada lagi had usia bagi kanak-kanak untuk masuk Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Para jemaah di Masjid Nabawi pada 25 Okt. (Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

RIYADH: Tiada lagi had usia bagi kanak-kanak yang mengikuti keluarganya untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Demikian disahkan oleh Penolong Setiausaha bagi Khidmat Jemaah dan Jemaah Umrah bagi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hisham Abdel Moneim Saeed, menurut laporan Saudi Gazette.

Encik Saeed menjelaskan semasa satu wawancara dengan saluran Al Saudiya bahawa untuk menguruskan jemaah mengikut kapasiti berdaya serap, kementerian itu mengehadkan usia minimum bagi pengeluaran permit untuk melaksanakan ibadah umrah dan bersolat di Al-Rawdah Sharifa kepada kanak-kanak berusia lima tahun dan ke atas.

Para jemaah yang ingin menunaikan umrah boleh memperoleh permit menerusi aplikasi Eatamarna and Tawakkalna, kata Encik Saeed, sambil menambah kedua-dua pendaftaran perlu dilakukan untuk memudahkan proses menguruskan jemaah dan mengetahui sejauh mana kapasiti berdaya serap tersebut.

Ini selain mempertingkat pengalaman digital para jemaah.

Mereka yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 atau yang belum lengkap divaksin boleh menunaikan umrah dan memasuki Masjidil Haram serta Masjid Nabawi, kecuali jika mereka dijangkiti koronavirus atau merupakan kontak rapat kes positif.

Perlu untuk diketahui bahawa Kementerian Haji dan Umrah, berdasarkan keputusan untuk menarik balik langkah-langkah berjaga-jaga di kedua-dua masjid suci itu, sudah membatalkan permit untuk menunaikan solat di Masjidil Haram dan juga Masjid Nabawi, lapor Saudi Gazette.

Sekalipun demikian, para jemaah masih diwajibkan mendapatkan permit untuk menunaikan umrah dan menziarahi Al-Rawdah Sharifa di Masjid Nabawi.

Kementerian itu juga membatalkan syarat menyerahkan ujian PCR yang diluluskan serta program kuarantin baik di kemudahan yang disediakan atau di rumah bagi para jemaah dari luar negara.

Selain itu, para jemaah dari luar Saudi tidak lagi perlu mendaftarkan maklumat imunisasi untuk mendapatkan permit, lapor Saudi Gazette.

Semua langkah jarak selamat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga ditarik balik. Namun para jemaah tetap perlu memakai pelitup.

Sumber : Agensi berita/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan