Tiada kerjasama dengan Bersatu kecuali semua bersetuju, tegas DAP
Gambar: Agensi berita/ MalaysiaGazette
PETALING JAYA: DAP menegaskan tiada sebarang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan saingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya wujud keputusan baru berhubung perkara tersebut, ia perlu dimuktamadkan di peringkat Majlis Presiden PH terlebih dahulu, lapor MalaysiaGazette.
“Seperti yang saya katakan pandangan dan pendirian kita seperti sebelum ini, siapa boleh dirunding dan sebagainya. Namun jika ada apa-apa keputusan baru harus diputuskan oleh Majlis Presiden PH terlebih dahulu.
“Setakat ini, kita tak rasakan ia ada ruang untuk berunding (dengan PH), itu jelaslah, saya pun dah nyatakan banyak kali pendirian itu. Saya tidak tahulah apa yang dimaksudkan Muhyiddin Yassin, itu terpulang kepada dia,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sesi Suai Kenal Anthony Loke Siew Fook bersama media.
Sebelum ini, Bersatu seolah-olah memberi bayangan bahawa ia bersedia untuk menyertai agenda ‘khemah besar’ yang dibawa oleh blok pembangkang, apabila menyatakan kesediaannya untuk berunding dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Tanpa menamakan mana-mana parti, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, rundingan ke arah membentuk kerjasama itu sudah dibuat pada peringkat awal dan beliau melihat wujud petanda memberangsangkan.
Katanya lagi, Bersatu mengamalkan sikap terbuka untuk duduk berunding dengan mana-mana parti bagi mencari formula bersifat 'menang-menang' antara mereka supaya dapat mencapai agenda berkenaan, menurut MalaysiaGazette.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rundingan kerjasama dengan parti pembangkang, Ahli Parlimen Seremban itu mengakui ada usaha untuk merapatkan dengan semua pihak, namun ia merupakan satu proses yang berlanjutan.
“Seperti di Parlimen, kita mengajak semua parti pembangkang untuk bekerjasama. Umpamanya apabila kita ada Akta Anti Lompat Parti, kita jemput parti pembangkang yang lain untuk turut bersama menyokong.
“Begitu juga keadaan apabila kerajaan memutuskan untuk jawatankuasa pilihan khas, bukan sahaja wakil PH terlibat. Kita juga jemput wakil dari Warisan yang mewakili blok pembangkang. Itu yang akan kami teruskan untuk bekerjasama,” ujar beliau seperti dinukil oleh MalaysiaGazette.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.