Skip to main content

Dunia

Tiada keputusan sepihak berhubung Selat Melaka, kata Menteri Luar Malaysia

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan pada Rabu (22 Apr) berkata tiada keputusan sepihak boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sambil menekankan pendekatan berasaskan konsensus Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam mengekalkan keselamatan maritim di laluan air yang penting itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada keputusan sepihak berhubung Selat Melaka, kata Menteri Luar Malaysia

Gambar fail Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 Julai 2025. (Gambar: AFP/Fazry Ismail menerusi Pool)

Diterbitkan : 23 Apr 2026 04:21PM
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan pada Rabu (22 Apr) berkata tiada keputusan sepihak boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sambil menekankan pendekatan berasaskan konsensus Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam mengekalkan keselamatan maritim di laluan air yang penting itu.

Bercakap sebagai ahli panel undangan tambahan di Forum 'Better Nation' (BN) ke-10 berhubung Kesan Perang Amerika-Iran terhadap Malaysia, beliau berkata Malaysia, bersama Singapura, Indonesia dan Thailand berkongsi “persefahaman yang sangat kukuh” serta menjalankan rondaan bersama bagi memastikan laluan selamat di selat tersebut, yang merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.

“Apa sahaja yang ingin dilakukan di Selat Melaka mesti melibatkan kebersamaan keempat-empat negara tersebut. Itu adalah persefahaman kita - tidak boleh dibuat secara bersendirian.

“Ini kerana ketika kita memeterai perjanjian bersama untuk rondaan dan keselamatan Selat Melaka, itulah asasnya - tiada keputusan sepihak.

“ASEAN semuanya berasaskan konsensus. Malah di peringkat jawatankuasa kecil sekalipun, semuanya berdasarkan konsensus,” tegas beliau.

Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah ketidaktentuan yang berpanjangan dalam perkembangan geopolitik di Timur Tengah dan kesannya yang boleh meningkatkan risiko laluan sempit maritim strategik lain termasuk di Selat Melaka.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia akan terus memperkasakan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) serta mengutamakan kepusatan ASEAN dalam mengemudi landskap global yang semakin kompleks.

Malaysia mesti mengamalkan pendirian "berkecuali secara aktif" dan mengelak daripada terperangkap dalam permainan politik global, kata beliau.

"Kita adalah sebuah negara perdagangan, ekonomi kita adalah ekonomi terbuka, dan kita berdagang dengan semua orang. Kita tidak boleh dilihat cenderung kepada sesiapa sahaja. Jika gagal, ekonomi kita akan terganggu," kata Encik Mohamad Hasan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita