Skip to main content

Dunia

Tiada keperluan mendesak untuk rombak Kabinet, Tengku Zafrul kekal Menteri, kata PM Malaysia Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada keperluan mendesak untuk rombak Kabinet, Tengku Zafrul kekal Menteri, kata PM Malaysia Anwar Ibrahim

PM Malaysia Anwar Ibrahim di majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada Ahad, 1 Jun 2025. (Gambar: BERNAMA).

KUALA LUMPUR: Keputusan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan berhasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak akan menjejas kedudukannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata Tengku Zafrul memainkan peranan dan tugasnya sebagai menteri dengan sangat baik.

“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita ratusan bilion, banyak juga dikendali dengan usaha beliau.

“Tetapi, soal kedudukan menteri itu tidak terjejas dan kita mahu beliau teruskan tugas kerana prestasi sebagai menteri baik dan negara memerlukan sumbangan beliau,” kata PM Anwar semasa ditemui media susuli majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada Ahad (1 Jun).

Mengenai lagi dua jawatan menteri yang bakal dikosongkan, PM Anwar berkata tiada keperluan mendesak buat masa ini untuk melakukan rombakan Kabinet.

Beliau berkata kerajaan kekal berfungsi walaupun dua menteri meletakkan jawatan baru-baru ini.

PM Anwar menambah bahawa aturan sementara akan dibuat untuk memastikan kesinambungan tadbir urus negara.

Dalam pada itu, PM Anwar berkata beliau akan meminta ketua setiausaha dari kedua-dua kementerian berkenaan untuk terus menjalankan tugas masing-masing.

Pada Rabu (28 Mei), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan lalu mula mengambil cuti.

Peletakan jawatan Encik Rafizi dan Encik Nik Nazmi masing-masing berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai akan datang.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita