Tiada keperluan bubar Parlimen Malaysia selagi PM Anwar dapat sokongan majoriti: Anthony Loke
DAP berpendirian tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan Malaysia membubarkan Parlimen selagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook (tengah). (Gambar: BERNAMA)
- DAP melalui Anthony Loke menegaskan tiada keperluan membubarkan Parlimen selagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen.
- Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas PRU15 atas persefahaman antara parti, dengan mandat lima tahun dan baki 15 bulan sebelum Parlimen tamat.
- Fokus utama kerajaan ialah melaksanakan agenda reformasi seperti pindaan Perlembagaan dan had tempoh jawatan Perdana Menteri, bukan mengadakan pilihan raya.
- Anthony Loke menyatakan hubungan antara parti komponen kekal stabil, kecuali jika ada parti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan semasa.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata Kerajaan Perpaduan dibentuk atas persefahaman selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan Ahli Parlimen daripada parti masing-masing menerima mandat selama lima tahun.
“Selepas PRU lepas, beberapa pihak, beberapa gabungan atas nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan ini.
“Selagi persefahaman itu masih dikekalkan dan ada sokongan majoriti Ahli Parlimen, tidak ada keperluan untuk membubarkan Parlimen pada ketika ini kerana tempoh Parlimen ini masih ada 15 bulan sehingga hujung tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2026 di Putrajaya pada Ahad (6 Sep).
Menurut Encik Loke, baki 15 bulan itu perlu dimanfaatkan untuk melaksanakan perubahan dan agenda yang dipersetujui gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Antaranya ialah pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memisahkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, yang sudah dipersetujui Jemaah Menteri dan dibawa ke Parlimen.
“Agenda untuk menghadkan tempoh dua penggal iaitu 10 tahun bagi Perdana Menteri, itu telahpun dipersetujui Jemaah Menteri malah pernah dibawa ke Parlimen.
“Jadi ini dua perkara besar yang seharusnya menjadi tumpuan kerajaan dalam persidangan Parlimen yang akan datang selain daripada pembentangan Belanjawan 2027,” katanya.
Encik Loke berkata fokus utama kerajaan ketika ini seharusnya diberikan kepada pelaksanaan agenda reformasi yang dijanjikan dan bukannya pilihan raya.
Mengenai hubungan antara parti komponen Kerajaan Perpaduan, Encik Loke berkata tiada masalah timbul kerana semua parti masih kekal dalam kerajaan.
Menurutnya, keadaan hanya akan berubah sekiranya sesebuah parti memutuskan untuk tidak lagi menyokong Perdana Menteri atau kerajaan semasa.
“Selagi komitmen itu masih ada, parti-parti yang menyokong pembentukan semasa, kerajaan semasa, Perdana Menteri semasa, tidak ada sebab untuk Parlimen dibubarkan kerana Perdana Menteri masih memperolehi sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.