Tiada kejadian rempuhan warga M'sia dari Singapura - Imigresen
Jabatan Imigresen menafikan berlakunya kejadian rempuhan warga negara Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) seperti yang viral semalam (7 Apr).
Gambar fail Pusat Pemeriksaan Woodlands.
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menafikan berlakunya kejadian rempuhan warga negara Malaysia yang pulang dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) seperti yang viral semalam (7 Apr).
Ketua Pengarahnya, Encik Khairul Dzaimee Daud, berkata rakaman video itu sebaliknya adalah suasana latihan kebakaran di BSI yang dilaksanakan pada 18 Disember tahun lalu, lapor BH Online.
"Jabatan Imigresen mengambil serius perbuatan penularan video berkenaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang berniat menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
"Satu laporan polis akan dibuat oleh pihak Jabatan Imigresen Johor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, video berdurasi kira-kira satu minit itu memaparkan orang ramai berpusu-pusu masuk ke BSI yang dikatakan sebagai warga Malaysia yang baru pulang dari Singapura selepas negara itu enggan membuat saringan kesihatan, menurut BH Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.