Skip to main content

Dunia

Tiada kawasan di Malaysia catat mutu udara sangat tidak sihat pada pagi 10 Sep

Hujan yang turun di beberapa kawasan di seluruh Malaysia sejak petang Rabu (9 Sep) membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar di udara, sekali gus meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini, lapor Astro Awani.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiada kawasan di Malaysia catat mutu udara sangat tidak sihat pada pagi 10 Sep

Seorang wanita menggunakan payung sewaktu hujan. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 10:24AM
  • Hujan yang turun sejak petang Rabu di seluruh Malaysia membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar udara dan meredakan jerebu.
  • Sehingga 6.00 pagi Khamis, tiada kawasan mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat, namun 21 kawasan masih berada pada tahap tidak sihat, terutamanya di Sarawak dan beberapa lokasi di Semenanjung.
  • Selain itu, 40 kawasan lain mencatat bacaan IPU sederhana, mengikut klasifikasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
  • Orang ramai, terutama golongan berisiko, dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar di kawasan yang masih mencatat bacaan IPU tidak sihat.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Hujan yang turun di beberapa kawasan di seluruh Malaysia sejak petang Rabu (9 Sep) membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar di udara, sekali gus meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini, lapor Astro Awani.

Sehingga pukul 6.00 pagi pada Khamis, tiada kawasan direkodkan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, sebanyak 21 kawasan masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan beberapa lokasi di Sarawak mencatat bacaan tertinggi, iaitu Sarikei (192), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian (191), Samarahan (183) dan Kuching (174).

Di Semenanjung, antara kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Batu Muda, Batu Pahat, Seremban, Nilai, Cheras dan Alor Gajah.

Sementara itu, 40 kawasan lain mencatatkan bacaan pada tahap sederhana, lapor Astro Awani.

Menurut Astro Awani, mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga serta mengurangkan aktiviti luar sekiranya berada di kawasan yang masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita